GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines Bhd (MAB) mengesahkan bahawa penerbangan MH199 dari Hyderabad, India, ke Kuala Lumpur, yang dijadualkan hari ini, kembali ke Hyderabad kerana masalah pada salah satu enjin selepas berlepas.

Ia berkata pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi pada 3.21 pagi waktu tempatan, dengan semua penumpang dan anak kapal selamat.

"Penumpang yang terjejas akan dijadual semula ke penerbangan lain untuk meneruskan perjalanan mereka. Pesawat itu kini berada di darat untuk pemeriksaan lanjut.

"Keselamatan kekal paling penting kepada Malaysia Airlines," kata MAB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media India.

Sebelum ini, sebuah media India melaporkan bahawa penerbangan Malaysia Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas di Hyderabad selepas pesawat itu mengalami masalah teknikal pada enjinnya.

Pesawat itu dilaporkan membawa 138 penumpang menuju ke Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 5:16 PM