PESAWAT Southwest Airlines. FOTO AFP
PESAWAT Southwest Airlines. FOTO AFP
Agensi

New Orleans: Mencemaskan apabila seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) membuka pintu keluar kecemasan pesawat dan menaiki bahagian sayap, di sebuah lapangan terbang di sini, baru-baru ini.

Ketika kejadian, pesawat itu belum berlepas.

Portal Sky News melaporkan, penumpang berusia 38 tahun itu bagaimanapun sudah ditahan oleh kakitangan berhampiran pesawat di New Orleans.

"Penumpang itu ditemukan dalam keadaan tidak sedar," kata polis.

Kejadian berlaku pada malam Ahad lalu ketika penerbangan Southwest Airlines belum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Louis Armstrong, New Orleans.

"Tiada tanda bahawa lelaki itu meninggalkan apa-apa di dalam pesawat, dan dia juga tidak didapati memiliki sebarang senjata.

"Dia dijangka tidak berdepan sebarang pertuduhan jenayah di dalam negara, bagaimanapun siasatan dirujuk kepada pihak berkuasa persekutuan.

"Tiada sesiapa yang cedera ketika kejadian itu," kata Pejabat Syerif Jefferson Parish dalam satu kenyataan.

Bertentangan dengan laporan lelaki itu ditangkap, polis berkata, penumpang berkenaan sebenarnya dibawa ke hospital kerana pihaknya percaya dia mengalami masalah kesihatan mental.

Polis berkata, penerbangan itu dibatalkan berikutan insiden itu, tetapi NBC News, rangkaian rakan kongsi Sky News AS, melaporkan penerbangan itu akhirnya berlepas ke destinasi terakhirnya di Baltimore.

"Kami memuji kru penerbangan dan darat kami atas tindakan pantas mereka dan memohon maaf kepada pelanggan kami atas kesulitan dihadapi," kata Southwest Airlines dalam satu kenyataan.

Sementara itu, lapangan terbang mengesahkan bahawa terdapat insiden membabitkan penumpang Southwest Airlines meninggalkan pesawat tanpa kebenaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 3:08 PM