PEMILIK kenderaan asing mengisi RON97 di stesen di Johor Bahru bagi mematuhi peraturan ditetapkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. FOTO Mary Victoria Dass
PEMILIK kenderaan asing mengisi RON97 di stesen di Johor Bahru bagi mematuhi peraturan ditetapkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Sepuluh stesen minyak di bandar raya ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 susulan penjualan petrol bersubsidi kepada kenderaan asing dari negara jiran.

Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, ia berdasarkan aduan diterima daripada orang ramai berkaitan isu itu selepas pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu.

Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan pemeriksaan berterusan bagi mengenalpasti sekiranya terdapat stesen minyak lain yang masih melakukan kesalahan itu.

Menurutnya, pemantauan dilakukan pihaknya mendapati isu berkenaan semakin berkurangan susulan pelbagai langkah dilakukan KPDNHEP mahupun pengusaha stesen minyak.

"Kami menasihati mereka lebih peka bagi mengelakkan perkara sama berulang.

"KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik stesen minyak yang gagal memantau penyalahgunaan RON95 mengikut undang-undang," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP turut menjalankan pemantauan di stesen minyak di sempadan Johor dengan radius 25 kilometer termasuk di Jalan Tun Razak menghala ke Jalan Skudai bagi memastikan kenderaan dengan nombor pendaftaran asing tidak menyalah guna RON95.

Sementara itu, seorang pengusaha stesen minyak yang mahu dikenali sebagai Rahmat berkata, dalam usaha mengelakkan kenderaan asing mengambil kesempatan membeli petrol bersubsidi, pihaknya menambah bilangan pekerja.

Dia berkata, pekerja itu bukan saja memudahkan pelanggan yang ingin mengisi minyak malah memantau sama ada kenderaan asing cuba membeli petrol bersubsidi.

Menurutnya, kamera litar tertutup (CCTV) turut dipasang bagi memantau keadaan itu.

"Kami bukan mahu mengaut keuntungan sebaliknya sesetengah warga asing membuat pembayaran menerusi kad kredit dan mengisi minyak ketika keadaan stesen minyak agak sibuk hingga kami tidak menyedari perbuatan mereka.

"Sekiranya ia stesen minyak berkonsepkan layan diri, lebih rumit bagi kami, oleh itu kami menambah bilangan pekerja," katanya ketika ditemui.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman beberapa kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi petrol RON95 yang dipercayai di stesen minyak sekitar bandar raya Johor Bahru.

Ia susulan pembukaan sempadan darat Malaysia-Singapura yang membolehkan pengembara dari republik itu memasuki negara ini sama ada menerusi Tambak Johor atau SecondLink di Tanjung Kupang, Iskandar Puteri.

Larangan penjualan petrol RON 95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing sudah dilaksanakan sejak 1 Ogos 2010.

Sebarang aduan boleh disalurkan menerusi e-aduan KPDNHEP di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my, WhatsApp di talian 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 3:36 PM