FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Asrol Awang


Kuantan: Tindakan rakyat yang menegur pemilik kenderaan asing mengisi petrol bersubsidi RON95 di stesen minyak di negara ini mendapat pujian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata sepatutnya pembelian RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing tidak berlaku seperti arahan yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, malah sepatutnya pengusaha stesen minyak melarang dan tidak membenarkan kenderaan asing membeli bahan bakar bersubsidi itu.

"Operator stesen minyak harus melarang kenderaan yang menggunakan kenderaan nombor pendaftaran asing daripada membeli RON95 di stesen minyak mereka.

"Bagi KPDN, ambil video itu bagus dan tularkan supaya pemilik kenderaan asing sedar bahawa itu satu kesalahan," katanya.

Fuziah berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan harga barang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2024 di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Beliau mengulas penularan video warga asing yang membeli RON95 yang tersebar di laman sosial dan kementeriannya memuji tindakan pengguna yang menularkannya.

"Tetapi saya cadangkan salurkan juga kepada aduan KPDN kerana kadang-kadang kita mungkin terlepas pandang dan lambat kita mengambil tindakan apabila ia tular," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 2:05 PM