MUHAMMAD Rusydi (kiri) tetap menyayangi ibu dan bapanya walaupun mereka  berstatus OKU kategori pekak dan bisu sejak lahir.
MUHAMMAD Rusydi (kiri) tetap menyayangi ibu dan bapanya walaupun mereka berstatus OKU kategori pekak dan bisu sejak lahir.

Kuala Lumpur: "Emak dan ayah ajar saya erti bersyukur malah tak pernah sedikit pun rasa terbeban kerana sedar mereka adalah jalan saya untuk ke syurga," kata Muhammad Rusydi Kamarulzaman mengenai ibu bapanya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak sejak lahir.

Muhammad Rusydi, 19, berkata, dia tidak pernah berasa malu dengan kekurangan yang ada pada ibu, Ummi Noor Syahida Abdullah, 49, dan bapa, Kamarulzaman Katis, 48.

Sebaliknya dia bersyukur kerana dibesarkan dua insan istimewa itu dan diizinkan Allah SWT untuk menjalani hidup bersama kedua-dua orang tuanya.

Bercerita lanjut, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia pada mulanya tidak sedar ibu bapanya berstatus OKU sehinggalah berusia lima tahun.

"Waktu itu saya kecil lagi tetapi sedar ada yang tak kena pada emak dan ayah kerana bila saya bercakap, mereka diam saja.

"Reaksi emak dan ayah buat saya jadi musykil dan lama-kelamaan baru sedar mereka rupanya OKU.

"Oleh kerana nak berkomunikasi dengan emak dan ayah, saya cari jalan belajar bahasa isyarat dengan rujuk buku khas malah mereka pun ada ajar saya serba sedikit hingga faham serta tahu macam mana caranya 'bersembang' dengan satu sama lain," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Meskipun keluarganya tidak hidup mewah seperti orang lain namun Muhammad Rusydi berbangga kerana memiliki bapa yang kuat berusaha demi menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

"Ayah bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang manakala emak suri rumah sepenuh masa.

"Ikutkan kami sekeluarga bukan orang senang tapi Alhamdulillah, ayah mampu beri keselesaan hidup buat kami.

"Bagi saya, emak dan ayah orang yang sangat sempurna dan tidak semua orang berpeluang merasai pengalaman ada ibu bapa seperti mereka.

"Saya pun rapat dengan kedua-duanya, cuma tidak banyak meluah dengan emak dan ayah sebab mereka tak berapa mengerti apa saya cuba sampaikan sebab ada masalah lambat faham," katanya yang juga penuntut Diploma Pengurusan Halal di Kolej Profesional Baitulmal, di sini.

Berkongsi pengalaman, Muhammad Rusydi berkata, rata-rata individu ditemuinya faham keadaan ibu bapanya namun ada juga segelintir yang memandang pelik ketika dia berjalan bersama mereka di khalayak ramai.

"Saya anggap itu perkara biasa dan niat kongsi video di TikTok pula hanyalah untuk menyimpan kenangan dan bukan menunjuk kepada orang lain.

"Di ruangan komen, ramai kata saya perlu bersyukur kerana masih ada emak dan ayah.

"Betul apa mereka katakan dan saya amat bersyukur kerana Allah SWT beri peluang kepada emak dan ayah untuk hidup sihat dan semoga mereka terus diberi kesihatan yang baik.

"Bagi yang senasib dengan saya, jangan sesekali rasa mereka menyusahkan kerana besar ganjaran pahala menjaga ibu bapa istimewa malah kelebihan kita adalah dapat belajar bahasa isyarat berikutan bukan semua orang ada kemahiran itu," katanya.

Berita berkaitan:

'Tak pernah dengar ketawa, suara anak'

Belajar bahasa isyarat atas kemahuan sendiri

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 12:16 PM