Nur Atirah dan suami yang juga OKU pendengaran dan tidak boleh bertutur, Muhammad Syukri yang bahagia dengan cara mereka sendiri. FOTO IHSAN NUR ATIRAH.
Nur Atirah dan suami yang juga OKU pendengaran dan tidak boleh bertutur, Muhammad Syukri yang bahagia dengan cara mereka sendiri. FOTO IHSAN NUR ATIRAH.
Noor Hidayah Tanzizi


Alor Gajah: "Berkongsi hidup dengan suami yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan tak boleh bertutur tidak membuatkan kehidupan saya sunyi tetapi tetap meriah dan ceria dengan cara kami sendiri," kata Nur Atirah Abdullah.

Nur Atirah, 23, dan suami, Muhammad Syukri Md Nasri, 32, mencuri perhatian warganet selepas wanita itu berkongsi videonya menyambut suami yang juga OKU pendengaran pulang kerja di TikTok.

Tanpa mengira perbezaan mereka, pekerja kilang itu dengan seikhlas hatinya memilih Muhammad Syukri sebagai suami dan berkahwin, Mei lalu.

Berkongsi cerita, Nur Atirah berkata, suami juga seorang yang kelakar dan tidak berasa rendah diri dengan kekurangan dirinya.

Katanya, mereka berkenalan sejak enam tahun lalu ketika dia berkerja sebagai pembersih bilik atau 'housekeeping' sambilan sebuah hotel dan mengetahui status OKU suaminya itu.

"Sebenarnya saya dulu yang mahu berkawan secara serius dengan suami dan tertarik dengan keperibadian dia yang ada kelebihan dalam kekurangan dirinya.

"Suami rajin bekerja, penyayang dan berjiwa besar serta tidak berasa rendah diri dengan kekurangan diri, seorang yang peramah dan suka menyapa dengan caranya walaupun tidak boleh bercakap.

"Dia juga seorang yang ceria, kelakar selain suka berlawak dengan gayanya sendiri walaupun tanpa suara... Bagi saya hidup tidak sunyi bersamanya dan dia ada cara dia sendiri untuk hiburkan saya," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi.

Menurut Nur Atirah, dia dan suami berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat tetapi mengakui dia belum mahir sepenuhnya dan masih dalam proses belajar daripada Muhammad Syukri.

Katanya, suami yang juga pekerja pembersihan swasta ada suara tetapi hanya boleh melantunkannya seperti budak belum pandai bercakap.

"Suami cuma boleh cakap 'tatatata', 'aaaaa' dan ngagagaga. Bagi saya suaranya comel dan kami juga selalu bersembang setiap hari menggunakan bahasa isyarat (formal) dan isyarat sendiri.

"Saya menerima suami dengan ikhlas seperti dia terima saya. Saya juga ada adik perempuan OKU lembam dan fizikal yang mana kami sudah janji akan jaga adik kalau mak ayah tiada nanti," katanya yang tinggal di Durian Tunggal, di sini.

Katanya, jika ada peluang dia mahu belajar bahasa isyarat ke peringkat lebih tinggi dan mahu menjadi jurubahasa isyarat kerana baginya komunikasi itu juga penting dan boleh dipratikkan lebih meluas sekali gus memudahkan urusan komuniti OKU.

Berhubung videonya menyambut suami pulang dari kerja yang tular itu, Nur Atirah berkata, dia hanya mahu menyimpan memori bersama suaminya itu dan tidak menyangka ia akan mendapat perhatian.

"Kebetulan saya cuti jadi sambut suami pulang dari kerja dan rakam video itu. Saya terharu serta bersyukur membaca komen dan doa orang ramai untuk kebahagiaan kami. Semoga semua doa yang baik-baik dimakbulkan dan mereka juga bahagia.

"Ada juga orang komen cakap yang orang normal pun tak seperti suami (usaha membahagiakan isteri) tetapi suami cakap insan normal atau istimewa, bahagia itu kita sendiri yang cipta.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kehidupan kami dan dapat sokongan daripada keluarga juga," katanya memberitahu suaminya ada kemahiran pertukangan cuma kurang mendapat kepercayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 4:48 PM