MUHAMMAD Alif bersama ibu, Nur Aznita Sewat dan bapanya.
MUHAMMAD Alif bersama ibu, Nur Aznita Sewat dan bapanya.
Oleh Redzuan Muharam


Banting: "Macam mana pun keadaannya, dia tetap ayah saya. Tanpanya, saya tiada di dunia ini," kata pengawal keselamatan, Muhammad Alif Md Jafiri.

Muhammad Alif, 21, adalah anak keempat daripada enam beradik dan masih mempunyai ibu dan bapa.

Bagaimanapun, bapanya, Md Jafiri Md Jantan, 56, berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan tidak pernah melihat wajahnya sejak lahir.

Lantaran itu, Muhammad Alif pernah menyalahkan takdir satu ketika dulu kerana mempunyai bapa OKU namun kini sudah menerima kenyataan itu dengan reda.

"Setahu saya, abah tidak dapat melihat sejak abang yang juga anak ketiga lahir kira-kira lebih 20 tahun lalu selepas matanya terkena percikan api.

"Itu bermakna abah tidak dapat melihat saya sejak saya dilahirkan lagi. Oleh kerana kecacatan abah, saya pernah persoalkan kenapa dapat bapa sepertinya malah sering diejek rakan sekolah disebabkan dia," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, semasa zaman persekolahan, keluarga mereka tiada kereta dan terpaksa menaiki teksi untuk ke mana-mana menyebabkan dia menanggung malu apabila orang ramai melihat dia berjalan dengan bapanya.

"Tapi apabila sudah besar, saya mula faham dan bersyukur masih ada abah ketika ramai insan lain sudah kehilangan bapa mereka," katanya.

Menurutnya, bapanya masih sihat cuma perlu berjalan dengan menggunakan tongkat.

"Jika tidak guna tongkat, abah akan pegang bahu emak ketika berjalan.

"Saya bangga dan kagum dengan emak kerana masih setia bersama abah. Ini kerana segelintir wanita lain mungkin akan tinggalkan pasangan mereka jika dalam keadaan begitu," katanya.

Mengenangkan keadaan bapanya mendorong Muhammad Alif mencari rezeki selepas tamat persekolahan.

Muhammad Alif berkata, niatnya adalah membantu meringankan beban ibu bapa yang banyak berkorban membesarkannya.

"Saya belajar sampai Tingkatan Lima saja dan tak sambung belajar kerana nak bekerja bantu keluarga.

"Lagipun, abah hanya bergantung dengan bantuan bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan emak pula suri rumah, jadi memang tak cukup kerana saya ada dua adik yang masih bersekolah.

"Sebelum ini, saya pernah bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang sebelum berhenti dan bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak dua bulan lalu.

"Abang sulung dan kakak sudah berkahwin, jadi saya cuba bantu mana yang termampu kerana kalau boleh nak keluarga hidup senang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 8:00 AM