NURUL Syazwani dan suami mendapat bantuan anak sulung untuk berkomunikasi dengan masyarakat setempat.
NURUL Syazwani dan suami mendapat bantuan anak sulung untuk berkomunikasi dengan masyarakat setempat.
Noor Hidayah Tanzizi & Redzuan Muharam


Bentong: "Walaupun tidak pernah mendengar gelak ketawa dan suara anak namun hidup ini tidak pernah sunyi dengan keletah mereka, malah anak juga menjadi 'telinga' dan 'mulut' kami untuk berkomunikasi dengan masyarakat," kata Nurul Syazwani Mohd Alfadzirllah, 36, orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak ketika dihubungi, baru-baru ini.

Dia mendapat perhatian selepas videonya bersama suami, Muhammad Al Amin Abdul Rahman, 36, yang juga OKU bisu dan pekak serta tiga anak berusia antara tiga hingga lapan tahun berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dikongsikan seorang pengguna akaun TikTok.

Menurut suri rumah itu, tiga anak mereka dilahirkan normal dan ketika video berkenaan dirakam, mereka datang menjamu selera di sebuah kafe.

Katanya, anak sulung, Naeilah Al Farisya membantu dia dan suami berkomunikasi dengan pekerja kafe berkenaan.

"Dalam keluarga, hanya saya dan suami OKU pendengaran serta bisu sejak lahir manakala ketiga-tiga anak dilahirkan normal dan boleh mendengar dan bercakap dengan baik. Jadi mereka membantu kami berkomunikasi dengan orang ramai.

"Alhamdulillah, anak sulung kami mempunyai kemahiran bahasa isyarat yang lancar manakala dua lagi anak sudah menguasai asas bahasa itu.

"Saya ajar mereka bahasa itu di rumah saja sejak kecil apabila sudah boleh mula bercakap dan anak juga mempunyai kemahuan untuk belajar.

"Mulanya saya ajar yang ringkas saja seperti kalau mahu susu tunjuk jari di mulut, mahu makan tunjuk suap tangan ke mulut atau mahu mandi kami ajar buat tanda cebok air," katanya ketika ditemubual melalui kiriman mesej di WhatsApp.

Menurutnya, selepas anak menguasai asas bahasa isyarat, dia akan mengajar abjad dan perkataan lain yang mempunyai isyarat simbol, malah mengakui usaha itu memudahkan mereka berkomunikasi dengan anak dan masyarakat setempat.

"Walaupun masih kecil, anak yang membantu kami apabila di luar kerana tidak semua orang tahu berbahasa isyarat tetapi ada juga yang mempunyai kemahiran itu (biarpun tidak ramai) membuatkan kami terharu.

"Malah, ahli keluarga juga ada yang tahu dan masih belajar untuk cuba berkomunikasi lebih baik dengan kami.

"Memang kami tidak pernah mendengar tangisan, suara dan gelak tawa tiga anak tetapi kehidupan kami tidak pernah sunyi.

"Keletah mereka tetap membuatkan kami terhibur dan saya berharap di syurga nanti kami dapat berkumpul semula dan dapat mendengar gelak ketawa mereka di sana nanti," katanya yang menetap di Kampung Ketari, di sini.

Menurutnya, dia bersyukur masyarakat tetap melayan komuniti OKU termasuk mereka yang mengalami masalah pendengaran dan bisu dengan baik, menghormati dan tidak sombong untuk memberi kerjasama dan bantuan.

"Dalam masa sama, kami berharap lebih ramai lagi orang cakna dengan komuniti kami," katanya.

Berita berkaitan:

'Emak dan ayah jalan saya ke syurga'

Belajar bahasa isyarat atas kemahuan sendiri

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 12:01 PM