SYAZWANI serta suami mendapat perhatian selepas videonya bersama tiga anak  berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.
SYAZWANI serta suami mendapat perhatian selepas videonya bersama tiga anak berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.

Bentong: "Kalau saya tak belajar bahasa isyarat, macam mana mahu sembang dengan mama dan ayah, sambil itu boleh bantu memudahkan mereka berkomunikasi dengan orang luar sebab ayah dan mama tak boleh dengar dan bercakap seperti kita," kata Naeilah Al Farisya Muhammad Al Amin, 8.

Dia mencuri tumpuan netizen selepas videonya bersama ibu bapa yang juga orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak serta dua adik berusia tiga dan lima tahun berkomunikasi dengan bahasa isyarat dikongsikan di TikTok.

Video berkenaan memaparkan Naeilah Al Farisya menjadi jurubahasa kepada ibu bapanya, Nurul Syazwani Mohd Alfadzirllah, 36, dan Muhammad Al Amin Abdul Rahman, 36, ketika berkomunikasi dengan pekerja di sebuah kafe.

Naeilah Al Farisya berkata, dia belajar bahasa berkenaan atas kemahuan sendiri menerusi tunjuk ajar ibu di rumah dan bahasa isyarat medium utama mereka berkomunikasi sejak dia masih kecil.

"Mama dan ayah boleh baca dan tulis dekat kertas, kalau keluar rumah, mama akan guna kaedah itu. Kalau saya ada, biasanya saya akan bantu mama berkomunikasi dengan orang ramai.

"Kalau menonton drama, mama baca sari kata dan kalau mama nak tahu apa-apa, dia tanya saya. Dua adik juga tahu bahasa isyarat dan setiap hari saya akan sembang dengan mama," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menurutnya, dia juga sebenarnya sedih apabila tidak dapat mendengar suara ibu bapanya seperti rakan lain tetapi baginya, kekurangan itu istimewa selain mengakui kehidupan mereka tetap gembira dan mereka selalu berkomunikasi.

"Kawan selalu tanya macam mana saya bercakap dengan mama serta ayah, jadi saya akan cerita dan mereka juga suka melihat kami bersembang. Bila besar nanti, saya mahu menjadi jurubahasa macam dalam televisyen untuk bantu lebih ramai OKU macam mama dan ayah," katanya.

Berita berkaitan:

'Tak pernah dengar ketawa, suara anak'

'Emak dan ayah jalan saya ke syurga'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 12:31 PM