MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor. FOTO arkib NSTP
MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor. FOTO arkib NSTP
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: "Memang meragukan. Pada awalnya, saya menyatakan untuk hadir (dalam program berkenaan), namun selepas mendapat maklumat lanjut saya memutuskan untuk tidak hadir."

Demikian penjelasan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Nor berhubung program jelajah seorang pendakwah yang dikatakan keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW.

Beliau juga difahamkan bahawa penganjur program yang membabitkan warga Maghribi itu di Universiti Sains Malaysia (USM) tidak memohon kebenaran daripada pihak berkuasa agama Islam di Pulau Pinang.

Siri jelajah lelaki itu sepatutnya diadakan di enam negeri dibatalkan kecuali di Pulau Pinang.

Dalam laporan akhbar ini semalam, pihak penganjur menjelaskan bahawa wujud salah faham mengenai perkara berkenaan.

Sehubungan itu pihak penganjur program jelajah menerima keputusan pembatalan berkenaan dengan terbuka.

Penganjur dilaporkan berkata, program di Pulau Pinang berjaya dilaksanakan hasil kerjasama erat antara Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan agensi berkaitan untuk melancarkan perjalanan program.

Wan Salim bagaimanapun berkata, Jabatan Mufti Pulau Pinang bukan pihak yang meluluskan program ceramah, tazkirah dan sebagainya.

"Saya juga difahamkan bahawa mana-mana pihak yang ingin membawa masuk penceramah dari luar negara dikehendaki mendapat kebenaran pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dulu.   

"Sebenarnya saya memang dijemput hadir di majlis berkenaan, pada mulanya saya jawab akan hadir tetapi membatalkannya selepas mendapat maklumat yang meragukan mengenai figura warga Maghribi terbabit," katanya.

Beliau berkata, umat Islam perlu berhati-hati apabila berdepan dengan pengakuan seseorang daripada keturunan Nabi Muhammad SAW jika tiada pembuktian menerusi dokumen atau penyaksian seseorang.

"Penipuan boleh berlaku di mana-mana dan dalam pelbagai bentuk dan cara termasuk dakwaan oleh individu tertentu konon dirinya berketurunan Nabi Muhammad SAW.

"Dakwaan sedemikian mungkin bertujuan mencari kemasyhuran, mendapat pengaruh, mengumpul wang atau tujuan-tujuan yang lain lagi," katanya.

Wan Salim turut mengingatkan masyarakat Islam di negara ini supaya berhati-hati apabila ada orang tertentu mendakwa dirinya berketurunan Nabi Muhammad SAW kerana individu yang mengaku dirinya berketurunan Rasulullah perlu disiasat kesahihan dakwaannya sama ada melalui dokumen yang asli atau dengan penyaksian pihak-pihak yang boleh dipercayai.

"Pihak berkuasa agama seperti Jakim dan Jabatan Agama Negeri boleh menyiasat latar belakang individu yang mendakwa dirinya berketurunan Rasul yang mulia, pada masa sama, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kedutaan Malaysia di negara individu berkenaan boleh menyiasat perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 12:54 PM