MOHD Naim bersama pegawai tertinggi TH menyantuni khemah PENEMAN wanita. FOTO NSTP
MOHD Naim bersama pegawai tertinggi TH menyantuni khemah PENEMAN wanita. FOTO NSTP
Husain Jahit


Makkah: Selepas membuat tinjauan dan menyantuni jemaah haji Malaysia bagi Musim Haji 1445H/2024 di Arafah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Naim Mokhtar terharu dan bangga apabila ramai jemaah yang mengucapkan terima kasih di dalam semua aspek.

"Alhamdulillah kebanyakan jemaah mengucapkan terima kasih dalam semua aspek rohani dan jasmani yang mana petugas kesihatan dan keselamatan sudah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

"Saya melihat sendiri bagaimana mereka melayani jemaah haji kita terutamanya yang memerlukan bantuan khusus hingga ada mengiringi jemaah ke bilik air jam 1 pagi, melayan mereka seperti ibu bapa sendiri," katanya lagi kepada Petugas Media Tabung Haji (TH), di sini semalam.

Beliau berkata, inilah fungsi PENEMAN iaitu Program Prihatin Tetamu Ar-Rahman bagi membantu jemaah warga emas yang dikenal pasti memerlukan bantuan dan bimbingan khusus sepanjang tempoh kemuncak ibadah haji iaitu wukuf di Arafah.

"Ini satu pengorbanan besar yang ditunjukkan oleh petugas dan diharapkan mereka terus bersabar dan berdedikasi di dalam menjalankan tugas. Apa yang kita harapkan ialah sekiranya jemaah itu mendapat haji mabrur, maka pahala yang sama dirasai oleh Petugas Haji ini," katanya lagi selepas melakukan lawatan pagi ke khemah-khemah jemaah.

Turut hadir ialah Pengerusi TH, Tan Seri Abdul Rashid Hussain, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Sementara itu seramai 74 jemaah yang sedang dirawat di Pusat Rawatan Tabung Haji berjaya melengkapkan ibadat wukuf di Padang Arafah menerusi program Safari Wukuf.

"Mereka yang dibawa dengan bas ini terdiri daripada pesakit yang sedang dirawat di hospital dan perlu dibawa ke Arafah untuk seketika bagi memastikan mereka mendapat ibadah wukuf dan menepati rukun haji," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 4:44 PM