MANGSA bersama anaknya (gambar bulat) diselamatkan anggota penyelamat.
MANGSA bersama anaknya (gambar bulat) diselamatkan anggota penyelamat.

Melaka: Telefon bimbit menjadi penyelamat kepada dua beranak apabila alat telekomunikasi itu digunakan untuk menghubungi pasukan penyelamat selepas mereka tersesat ketika dalam perjalanan turun daripada mendaki Bukit Beruang, di sini, petang kelmarin.

Mangsa lelaki berusia 40 tahun menggunakan telefon bimbit yang dibawa bersama untuk menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan selepas mendapati dia dan anak lelaki berusia 10 tahun tersesat.

Terdahulu, dua beranak itu memulakan pendakian jam 6 petang, namun gagal menemui jalan turun ke kaki bukit dan terkandas di chekpoint 3 selama empat jam.

Risau dengan keselamatan mereka, lelaki terbabit menghubungi bomba pada jam 8.18 malam sebelum ditemui pada jam 10.44 malam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba negeri, Penguasa Bomba Kanan II Zulkifli Nordin berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sebuah jentera bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh bersama sembilan anggota termasuk komander operasi bergegas ke lokasi kejadian.

“Mengikut laporan, ada empat mangsa tersesat, namun selepas melakukan semakan maklumat itu tidak tepat. Berlaku salah faham, dua individu yang dikatakan hilang itu sebenarnya orang awam yang membantu mencari dua beranak
berkenaan.

“Dua beranak itu gagal mencari jalan turun berikutan hari mula gelap dan terkandas pada ketinggian 300 meter dari kaki bukit,” katanya.

Beliau berkata, operasi mengesan dua beranak itu dilakukan dari dua laluan mendaki iaitu Taman Muzaffar Height (TMZ) dan Taman Bunga Raya (TBR).

Zulkifli berkata, pihak penyelamat berhubung dengan lelaki terbabit untuk memudahkan usaha mengenal pasti lokasi sebenar dia dan anaknya berada.

“Ketika ditemui dua beranak itu dalam keadaan tenang dan tidak mengalami kecederaan. Pasukan penyelamat membawa mereka turun dan sampai di kaki bukit pada jam 11.12 malam,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Zulkifli mengingatkan orang awam supaya tidak melakukan pendakian pada lewat petang serta membawa bersama pendaki yang sudah biasa dengan selok-belok laluan di bukit berkenaan untuk mengelak tersesat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 10:06 AM