ICQS Rantau Panjang sesak berikutan orang ramai pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha, Isnin ini. FOTO Bernama.
ICQS Rantau Panjang sesak berikutan orang ramai pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha, Isnin ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Pasir Mas: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang mengalami kesesakan sejak semalam, berikutan orang ramai dari Thailand dan Malaysia mula pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidiladha pada Isnin.

Seorang rakyat Thailand dari Narathiwat, Nane Abdul Hafit, 26, berkata dia bersama lima ahli keluarga mengambil keputusan bagi menyambut Aidiladha bersama saudara-mara di Kota Bharu.

"Tahun lepas saudara-mara kami dari Kota Bharu beraya bersama keluarga kami di Narathiwat, kini giliran kami pula untuk beraya di Malaysia.

"Aidiladha di Kota Bharu luar biasa jika dibandingkan dengan Thailand, kerana di Kelantan Aidiladha disambut seperti kenduri besar-besaran," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Selain itu, Wan Rizman Wan Che Mat, 30, berkata beliau mengambil pulang ke kampungnya di Sungai Golok, Thailand selepas diberi cuti oleh majikannya selama empat hari bagi menyambut Aidiladha.

"Saya bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Bangi, Selangor. Selepas habis waktu kerja, saya menaiki bas pada 10 malam semalam untuk pulang ke Sungai Golok, bagi menyambut Aidiladha.

"Apabila tiba di Rantau Panjang saya mengambil peluang membeli-belah untuk persiapan menyambut Aidiladha," katanya.

Sementara itu tinjauan Bernama petang ini mendapati, suasana sesak hampir empat kilometer bermula di pintu ICQS kerana orang ramai menuju ke Thailand untuk menyambut hari raya Aidiladha.

Tinjauan juga mendapati orang ramai dari kedua-dua arah Malaysia dan Thailand, berjalan kaki beramai-ramai melalui sempadan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

ICQS Rantau Panjang mula dibuka pada setiap 7 pagi sehingga 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 7:43 PM