Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Polis Kelantan meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara terutama di Kampung Tersang dan Jeram Perdah di Rantau Panjang susulan letupan dan bedilan yang dipercayai berlaku di kawasan Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA) meningkatkan kawalan dengan serta-merta kerana kawasan itu terletak berdekatan dengan lokasi kejadian.

Katanya, selain itu kawalan juga dipertingkatkan di kawasan lain yang berdekatan sempadan negara.

"Kita dukacita dengan perkara (insiden letupan) ini kerana ia berlaku amat berdekatan dengan kita.

"Kita minta polis daerah Pasir Mas dan berhampiran sempadan negara membuat risikan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan tidak membabitkan penduduk negara ini dan ia berlaku antara pihak keselamatan negara sana dengan penyerang saja.

Menurutnya, sekiranya pihak negara jiran memerlukan bantuan, polis Kelantan akan berikan kepada mereka.

Terdahulu media melaporkan, penduduk sempadan Malaysia-Thailand, mengakui terkejut mendengar bunyi letupan dan bedilan yang dipercayai berlaku di kawasan Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, kira-kira 1 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 2:37 PM