KEJADIAN letupan di lokasi yang menyebabkan sebuah kenderaan milik Polis Thailand rosak di Wilayah Narathiwat awal pagi. FOTO Ihsan pembaca
KEJADIAN letupan di lokasi yang menyebabkan sebuah kenderaan milik Polis Thailand rosak di Wilayah Narathiwat awal pagi. FOTO Ihsan pembaca
Nor Fazlina Abdul Rahim


Rantau Panjang: Pergerakan membabitkan keluar masuk Kelantan-Thailand menerusi pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok tidak dibenarkan oleh pasukan keselamatan di Thailand berkuat kuasa hari ini.

Ia susulan berlaku tragedi berbalas tembakan dan letupan bom yang mengakibatkan empat anggota polis dari Balai Polis Sungai Golok cedera, dalam kejadian 12.05 tengah malam tadi di Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, Thailand.

Sumber pasukan keselamatan Thailand, berkata sebarang pergerakan membabitkan pangkalan haram tidak dibenarkan buat sementara waktu susulan pihaknya sedang mengesan dalang di sebalik kejadian terbabit.

"Perkara ini hanya sementara memandangkan kejadian baru berlaku dan sebaik keadaan kembali reda, pergerakan akan dibenarkan semula.

"Buat masa ini, pihak berkuasa Thailand sedang mengesan individu atau suspek yang terbabit dalam insiden berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, empat anggota keselamatan Thailand cedera apabila terkena letupan bom yang dipercayai diletakkan oleh penjenayah di Kampung Pasemas, Sungai Golok, Thailand, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Jadsadavit Inprapan berkata, kejadian berlaku jam 12.05 tengah malam, semasa anggota berkenaan dalam perjalanan bagi melaksanakan tugas-tugas keselamatan di pekan Sungai Golok dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 5:06 PM