ANWAR ketika menyempurnakan perasmian Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP di Dewan Dato' Zainal Abidin, di sini hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
ANWAR ketika menyempurnakan perasmian Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP di Dewan Dato' Zainal Abidin, di sini hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Bagan Serai: Perbelanjaan dianggarkan RM4 bilion diperlukan bagi pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di Kerian dengan sebahagian daripadanya adalah bagi penyaluran air terawat ke Pulau Pinang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan secara dasarnya bersetuju meluluskan peruntukan itu selain menyokong pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).

Beliau berkata, ia juga sebagai langkah jangka panjang membekalkan air terawat di wilayah utara Perak serta di selatan Pulau Pinang khususnya Seberang Perai.

Anwar berkata, projek penyaluran air itu harus dijadikan keutamaan memandangkan penumpuan rancangan pembangunan di KIGIP menekankan penggunaan tenaga hijau berikutan banyak pelabur luar begitu menekankan aspek penggunaan tenaga berkenaan.

"Semua yang ingin melabur menekankan tenaga hijau. Oleh kerana keupayaan Malaysia mengatakan 'yes', kita akan segerakan untuk menarik mereka (pelabur) datang cepat.

"Sebab itu saya katakan langkah pertama adalah seluruh kawasan KIGIP ini yang bermula dengan sekitar 1,000 ekar (404.6 hektar) semuanya akan menggunakan tenaga hijau iaitu rekod di negara kita dan pada banyak negara lain.

"KIGIP akan memerlukan air yang cukup besar. Kalau kita sebut pusat data yang disebut sekarang 'data center plus AI', itu keperluan tenaga, keperluan air sangat besar.

"Maka ia dapat dipenuhi dengan pengurusan air dan beberapa program tempatan sekali gus menggunakan jalur dari Bukit Merah ke Kerian untuk memenuhi keperluan KIGIP dan dari Kerian terus ke Seberang Perai di Pulau Pinang," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP di Dewan Dato' Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhilah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Anwar berkata, peluncuran pelan induk KIGIP hari ini menyaksikan suatu perkembangan penting dalam ekonomi dan pembangunan bukan saja di Perak malah seluruh negara dengan konteks pendekatan baharu mewujudkan taman perindustrian berteknologi tinggi yang diberi penekanan elemen tenaga hijau, selari dengan dasar kerajaan mengenai transisi tenaga.

Menurutnya, kerajaan juga secara dasar turut bersetuju dengan pelaksanaan cadangan kerajaan Perak bagi membina susur keluar atau 'interchange' baharu dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ke KIGIP dengan anggaran kos RM60 juta bagi pembinaannya yang akan turut dilengkapi fasiliti seperti tandas dan surau.

"Semuanya (di KIGIP) akan menggunakan tenaga hijau iaitu rekod di negara kita dan banyak pada negara lain. Dikatakan 'hijau dan taman perindustrian pintar', jadi keperluan yang pertama adalah tenaga dan saya katakan ada solar.

"Kedua adalah infrastruktur termasuk jalan raya mantap, 'interchange' dan jalan. Peruntukan awal setakat 'interchange' saja RM60 juta, kita harus mula dan segerakan.

"Kemudian yang juga mencabar dan dikeluh oleh orang-orang di Kerian iaitu masalah air sama ada untuk tanaman dan minum yang mana ini juga terkesan di Seberang Perai iaitu kekurangan bekalan air," katanya.

Sementara itu dalam sidang media, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, projek pengurusan air berkenaan dilaksanakan secara berfasa membabitkan beberapa gerak kerja dan keperluan yang akan dimuktamadkan tahun hadapan.

Katanya, apa yang sudah dipersetujui untuk isu pembekalan air itu adalah ia akan diambil dari Sungai Perak, disalurkan ke Bukit Merah melalui terowong yang akan dibina dengan apa juga proses terutama pembersihan akan dilaksanakan di Bukit Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 3:19 PM