Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Pembangunan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di daerah Kerian menerusi pengumuman Bajet 2024 semalam yang menyentuh Perak secara langsung dilihat mampu mempercepatkan lagi rancangan membangunkan loji rawatan air (LRA) baharu di utara Perak, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani berkata, pembinaan LRA terbabit adalah bagi menampung ekosistem yang lebih luas untuk kluster elektrik dan elektronik (E&E) di wilayah utara Perak susulan rancangan kerajaan membuka kawasan perindustrian berteknologi tinggi di daerah berkenaan khususnya mengenai penggunaan air yang diperlukan di pihak industri khususnya kilang.

"Rancangan kerajaan negeri melalui pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 adalah meletakkan pusat industri di serata tempat termasuk di daerah Kerian memandangkan kita lihat adanya permintaan dari pelabur-pelabur di Pulau Pinang yang ingin mengembangkan urusan mereka ke Perak.

"Satu benda yang sangat penting ialah jika berlaku (pembukaan kawasan perindustrian berteknologi tinggi) maka ia akan mempercepatkan satu proses yang sedang dibuat oleh kerajaan negeri iaitu memohon peruntukan daripada kerajaan pusat bagi pembinaan LRA di utara Perak.

"Bermakna, usaha untuk mempercepatkan pembinaan LRA di situ akan menjadi lebih nyata," katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak 2023.

Sidang media oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad  pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negera Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya Ipoh. FOTO L.MANIMARAN
Sidang media oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negera Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya Ipoh. FOTO L.MANIMARAN

Semalam, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2024 mengumumkan kerajaan akan membuka kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian, Perak bagi membina membina ekosistem lebih luas untuk kluster E&E di wilayah utara.

Ia susulan pembukaan kawasan perindustrian baharu E&E itu selepas kawasan Perindustrian di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Kulim Hi-Tech Park, Kedah menghimpunkan syarikat terkemuka dunia dalam sektor E&E yang mana ia adalah antara usaha kerajaan terus memperhebat usaha meraih lebih banyak pelaburan berimpak tinggi.

Julai lalu, Saarani turut dilapor berkata kerajaan Perak memohon bantuan kerajaan Pusat berhubung rancangan membangunkan loji rawatan air (LRA) baharu di utara Perak yang sekali gus diharap dapat menyalurkan air terawat kepada kerajaan Pulau Pinang, selain daripada bagi kegunaan industri di kawasan sekitar.

Ketika itu beliau berkata kertas kerja bagi meminta bantuan kerajaan pusat sedang dirangka untuk pembinaan LRA yang akan merawat air yang disalurkan dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di daerah Kerian yang biasanya mengalami penurunan drastik setiap tahun khususnya pada musim kemarau.

Kata Saarani lagi, dengan pengumuman Anwar mengenai pembukaan kawasan perindustrian berteknologi tinggi semalam, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) akan membuat penilaian semula mengenai beberapa kawasan berpotensi bagi pembangunan kawasan perindustrian baharu itu berbanding yang pernah diputuskan sebelum ini.

Menurutnya, pembangunan kawasan itu sebelum ini diputuskan oleh PKNPk seluas 40.46 hektar namun pengumuman oleh Anwar semalam memerlukan kawasan seluas sekurang-kurangnya 404.6 hektar.

"Secara kebetulan semasa kita berbincang dalam mesyuarat Lembaga Pengarah PKNPk, kita sudah mengenalpasti beberapa kawasan berpotensi untuk kita bangunkan tapak perindustrian di Kerian," katanya.

Ditanya mengenai lokasi tepat kawasan perindustrian yang ingin dibangunkan, Saarani tidak mendedahkannya kerana khuatir harga hartanah kawasan itu akan mendadak naik bermula sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 2:25 PM