Seramai 17 wanita warga Indonesia bekerja sebagai pembantu rumah yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa diselamatkan pasukan D3 Atipsom Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam serbuan di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor, semalam. FOTO Ihsan Polis
Seramai 17 wanita warga Indonesia bekerja sebagai pembantu rumah yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa diselamatkan pasukan D3 Atipsom Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam serbuan di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor, semalam. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Dipaksa bekerja sebagai pembantu rumah sejak lebih enam bulan lalu tanpa dibayar gaji.

Begitu nasib malang 17 wanita warga Indonesia disyaki dijadikan buruh paksa oleh sebuah syarikat sebelum berjaya diselamatkan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pasukan menyerbu sebuah rumah yang dijadikan asrama syarikat perkhidmatan pembantu rumah di Shah Alam, Selangor pada jam 9.30 malam.

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil maklumat mengenai eksploitasi buruh paksa ke atas mangsa dalam kalangan pembantu rumah.

"Hasil pemeriksaan berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 31 hingga 40 tahun berperanan sebagai majikan dan penyelia yang mengambil serta menghantar kesemua mangsa ke tempat kerja.

"Seramai 17 wanita warga Indonesia berusia antara 25 hingga 45 tahun yang disyaki mangsa pemerdagangan orang diselamatkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa bekerja antara enam bulan sehingga dua tahun dengan majikan sama dan terdapat mangsa mengadu tidak pernah menerima sebarang bayaran gaji.

Berikutan itu, katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta Atipsom dan Seksyen 44(1) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 1:11 PM