GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Disepak di muka kerana bertanyakan baki gaji tertunggak. Itu nasib malang dialami seorang wanita warga Indonesia yang diselamatkan selepas dijadikan buruh paksa oleh majikannya di Ayer Tawar, Perak.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan tadi, memaklumkan operasi menyelamat bersepadu oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Pasukan Tindakan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) dan polis itu dilakukan susulan aduan serta maklumat pihak Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Menurut KSM, majikan itu dipercayai mengeksploitasi mangsa dengan ugutan bahawa mangsa bukan pekerja sah dan sering kali memarahi mangsa sekiranya ingin kembali ke negara asal.

"Mangsa pernah dikasari secara fizikal iaitu disepak pada bahagian muka apabila mangsa meminta baki gaji yang tertunggak," menurut kenyataan itu.

KSM memaklumkan mangsa wanita itu masuk ke Malaysia secara sah dengan permit kerja sebagai pembantu rumah pada Jun 2003 melalui seorang ejen dikenalinya.

Selepas mendapat pekerjaan, gaji mangsa dipotong RM350 sebulan selama empat bulan sebagai kos bayaran kepada ejen itu.

"Mangsa tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung perkara ini kerana menyerahkan semuanya kepada ejen dan beliau mengakui tiada sebarang kontrak perjanjian bertulis dibuat berhubung proses penggajian termasuklah bayaran kepada ejen berkenaan," katanya.

Menurut KSM, siasatan awal menunjukkan mangsa yang tamat tempoh sah permit pada Jun 2020, diklasifikasikan sebagai buruh paksa berdasarkan beberapa indikator antaranya gaji mangsa tidak dibayar untuk tempoh tiga tahun dari 2018 hingga 2021 berjumlah kira-kira RM25,000.

Berdasarkan situasi yang dihadapi mangsa, indikator menunjukkan bahawa majikan melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, menurut KSM.

KSM memaklumkan mangsa yang masih trauma ditempatkan di Rumah Perlindungan Zon Tengah di Damansara selepas mangsa diberikan Perintah Perlindungan Interim (IPO) oleh Mahkamah Majistret Sri Manjung pada hari sama beliau diselamatkan.

IPO adalah untuk tempoh 21 hari iaitu hingga 13 Oktober ini bagi melengkapkan satu kertas siasatan di bawah Akta ATIPSOM 2007 yang dikendalikan oleh JTK dan kertas siasatan itu akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi semakan dan membuat keputusan.

"Ini (operasi yang dijalankan) jelas menunjukkan bahawa negara tidak akan sesekali berkompromi dalam isu buruh paksa tanpa mengira kewarganegaraan pekerja terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 3:36 PM