Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Sungai Buloh: Tiga remaja warga Myanmar disyaki dieksploitasi sebagai buruh kasar dan dipaksa tinggal di dalam bilik kecil yang kotor dan menjijikkan, diselamatkan menerusi serbuan ke atas sebuah kilang di Kampung Baru Sungai Buloh di sini, semalam.

Ketika serbuan, tiga remaja terbabit, dua daripadanya masing-masing berusia 13 tahun dan seorang lagi yang berumur 17 tahun, meleraikan barangan elektronik untuk dikitar semula bersama 11 lelaki lain yang kesemuanya adalah warga asing.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa terbabit baru bekerja selama beberapa bulan sahaja di premis itu dan tinggal di sebuah bilik kecil yang disediakan majikan di bahagian belakang kilang terbabit.

Serbuan 2.30 petang itu dijalankan Bahagian D3 (Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran - Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (NSO Mapo).

Ketua Penolong Pengarah D3 JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketiga-tiga remaja lelaki terbabit dipercayai menerima gaji antara RM1,200 hingga RM1,300 sebulan.

"Serbuan mendapati premis itu adalah sebuah kilang kitar semula memproses barangan terpakai yang mempunyai lesen perniagaan, namun sudah tamat tempoh.

"Temu bual awal dijalankan dengan menggunakan penterjemah rakan senegara mendapati mangsa tidak dibenarkan keluar, serta bekerja lebih masa lama 12 jam setiap hari," katanya dalam kenyataan, hari ini

Menurutnya, kesemua mangsa dan pendatang asing terbabit diarahkan bekerja bermula 9 pagi hingga 9 malam, enam hari seminggu.

Katanya, segala pergerakan di dalam kilang terbabit dipantau oleh majikan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar premis.

Soffian berkata, antara yang ditahan termasuk seorang warga India berusia 27 tahun yang disyaki berperanan sebagai penyelia.

"Penyelia berkenaan ditahan mengikut Seksyen 14 Akta Atipsom dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

"Selain itu, 10 lelaki terdiri daripada dua warga Myanmar, Bangladesh (lima) dan India (tiga) ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Katanya, fokus operasi untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang atau eksploitasi buruh paksa dengan berpandukan kepada National Guideline On Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

TIGA remaja Myanmar yang diselamatkan dalam serbuan itu. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
TIGA remaja Myanmar yang diselamatkan dalam serbuan itu. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 9:05 AM