REMAJA perempuan yang dijadikan buruh paksa diselamatkan  Atipsom JSJ Bukit Aman yang menjalankan serbuan di sebuah kilang kitar semula barangan elektronik di Telok Gong, Pelabuhan Klang, hari ini. FOTO Faiz Anuar
REMAJA perempuan yang dijadikan buruh paksa diselamatkan Atipsom JSJ Bukit Aman yang menjalankan serbuan di sebuah kilang kitar semula barangan elektronik di Telok Gong, Pelabuhan Klang, hari ini. FOTO Faiz Anuar
Raja Noraina Raja Rahim


Klang: Empat remaja warga Myanmar yang disyaki dijadikan buruh paksa diselamatkan pasukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam serbuan di Telok Gong di sini, hari ini.

Mereka yang terdiri daripada tiga remaja perempuan dan seorang remaja lelaki berusia antara 14 hingga 16 tahun itu diselamatkan dalam serbuan di tiga kilang kitar semula barangan elektronik.

Dalam serbuan bermula kira-kira jam 2 petang, beberapa pendatang asing tanpa izin (Pati) cuba meloloskan diri dengan bersembunyi dalam semak di belakang kilang sebelum berjaya ditahan polis.

Penolong Pengarah D3, Asisten Komisioner Hazril Kamis berkata, Op Khas Aman 1/2024 dijalankan susulan siasatan dan risikan yang dilakukan sejak beberapa hari lalu.

"Hasil serbuan itu, lebih 100 warga asing ditahan masing-masing 50 lelaki dan wanita. Semakan mendapati empat daripadanya adalah remaja bawah umur.

"Siasatan awal mendapati empat remaja itu menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa manakala pekerja asing lain bekerja dan dibayar gaji oleh majikan mereka," katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi membabitkan kekuatan 80 pegawai dan anggota itu turut disertai Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurutnya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Akta Atipsom 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 55B akta sama.

Selain itu, Hazril berkata, siasatan awal mendapati kilang berkenaan beroperasi secara haram sejak enam bulan lalu.

Katanya, kompaun terhadap pemilik kilang turut dikeluarkan oleh JAS atas kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 6:24 PM