ANGGOTA polis mengambil tindakan ke atas kenderaan yang berhenti di garisan kuning, laluan pejalan kaki. FOTO Ihsan Polis.
ANGGOTA polis mengambil tindakan ke atas kenderaan yang berhenti di garisan kuning, laluan pejalan kaki. FOTO Ihsan Polis.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tindakan terhadap pemandu kenderaan yang berhenti di garisan putih atau laluan pejalan kaki segera diambil apabila 209 saman dikeluarkan terhadap pesalah itu dalam Op Hormat Undang-Undang (HUU) Jalan Raya Polis Kuala Lumpur fasa dua, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, ia daripada keseluruhan 6,638 saman yang dikeluarkan.

"Kesalahan tertinggi direkodkan adalah halangan lalu lintas dengan 5,446 saman dikeluarkan.

"Kesalahan lain adalah tiada lesen memandu (95), tidak patuh lampu isyarat merah (51), nombor plat fancy (30) dan lain-lain (807).

"Seramai 11 individu turut ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa rakaman video menunjukkan anggota JSPT menyaman kenderaan yang berhenti melebihi garisan putih dan di atas laluan pejalan kaki.

Mengulas lanjut, Sarifudin berkata, sebanyak 21 operasi dijalankan semalam membabitkan Op Mabuk; Op Motosikal; Op Perdagangan; Op Khas; Op Pelbagai; Op Halangan; Op Utama (telefon bimbit); Op Utama (Lampu Isyarat) dan Op Didik.

Katanya, operasi itu dijalankan dengan kekuatan 798 pegawai dan anggota.

Mana-mana individu yang disaman sepanjang operasi yang dijalankan sehingga 29 September ini tidak layak untuk mendapat tawaran pengurangan atau diskaun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 8:03 AM