GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan mengecualikan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) kepada majikan yang belum mendaftar tetapi melakukan pendaftaran dalam tempoh 1 Mac hingga 30 Jun.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pengecualian tersebut terpakai kepada pendaftaran di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) manakala majikan yang belum membuat pendaftaran sepanjang tempoh tersebut, diskaun akan diberikan kepada kompaun yang dikenakan.

"Bersempena dengan Sambutan Jubli Emas, Perkeso memberikan insentif tersebut sebagai penghargaan atas kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh majikan di seluruh negara serta bertujuan untuk meringankan beban kewangan dalam menghadapi pandemik Covid-19.

"Sejumlah 487,706 majikan aktif berdaftar di bawah Akta 4 dengan 8.57 juta pekerja mendapat perlindungan Perkeso dan telah memperluaskan skop liputan Akta 4 kepada pekerja asing. Melalui perluasan skop tersebut, seramai 1.6 juta pekerja asing telah didaftarkan sehingga kini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohammed Azman berkata, majikan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, majikan juga akan dikenakan faedah pada kadar 6 peratus setahun atas caruman yang lewat dibayar daripada tempoh yang ditetapkan.

"Sejak tahun 2010 hingga 31 Disember 2020, sebanyak 17,471 kes diterima untuk didakwa di bawah Akta 4 atas pelbagai kesalahan.

"Saya menyeru kepada semua majikan yang layak dan masih belum mendaftar di bawah akta tersebut untuk tampil berbuat demikian, pendaftaran majikan boleh dilakukan secara dalam talian melalui Portal ASSIST dengan melayari www.perkeso.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 7:21 PM