Kereta yang ditahan polis. FOTO IHSAN KPDN
Kereta yang ditahan polis. FOTO IHSAN KPDN
Siti Rohana Idris

Tumpat: Pembelian berulang pada awal pagi di beberapa stesen minyak yang beroperasi 24 jam menjadi taktik seorang penyeludup diesel menjalankan aktiviti penyelewengannya.

Bagaimanapun, lelaki berusia lingkungan 30-an itu berjaya ditahan pihak berkuasa pada 6.55 pagi semalam di Pasir Pekan di sini, selepas dikejar pasukan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejauh 25 kilometer (km).

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, terdahulu pihaknya mengesan kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dipandu seorang lelaki di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

"Lelaki itu dipercayai memulakan pengisian diesel seawal 2 pagi dengan mensasarkan stesen minyak yang beroperasi 24 jam.

"Pasukan kami kemudiannya mengekori kereta itu dan sebaik disedari pemandunya, kenderaan itu terus dipecut dan dipandu secara berbahaya.

"Sebaik tiba di Pasir Pekan kira-kira sejauh 25km dari lokasi dia mula dikesan, lelaki itu memberhentikan kenderaannya dan cuba keluar untuk melarikan diri namun berjaya ditahan," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Azman berkata, pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui sejumlah tong plastik yang mengandungi 1,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM2,150.

Menurutnya, diesel itu dipercayai untuk dibawa ke pangkalan haram di Pengkalan Kubor sebelum diseludup ke Thailand dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 2:14 PM