FADHLINA ditemubual media pada Program Hari Keluarga Kelab Media Mutiara. FOTO BERNAMA
FADHLINA ditemubual media pada Program Hari Keluarga Kelab Media Mutiara. FOTO BERNAMA
Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Isu pengajaran mata pelajaran sains dan matematik menerusi Program Dwibahasa (DLP) dalam bahasa Melayu tidak wajar diperbesarkan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, sesi libat urus berkaitan perkara itu sedang berjalan dan mendapat reaksi sangat baik.

Katanya, sesi libat urus penting bagi memastikan semua pihak memahami garis panduan di bawah dasar memartabatkan bahasa Melayu dan mengukuhkan bahasa Inggeris.

"(Dalam isu DLP), penegasan yang kita tegaskan adalah garis panduan itu mesti dipatuhi, sebab itu sesi libat urus sangat penting.

"Ketika ini, pasca (selepas) isu itu, JPN (Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang) telah sekali lagi turun dan memberikan penjelasan membuat sesi libat urus dengan sekolah-sekolah (11 sekolah yang membuat bantahan) yang prosesnya berterusan untuk memahamkan (mereka) berkaitan isu garis panduan dan penegasan kita di bawah dasar memartabatkan bahasa Melayu dan mengukuhkan bahasa Inggeris.

"Ia harus berjalan selari dan kita (KPM) tidak merasa perkara ini wajar diperbesar-besarkan kerana ia hanya soal bagaimana nak mematuhi garis panduan dan memenuhi kehendak itu berdasarkan garis panduan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada KPM sudah bertemu dengan Lembaga Sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang dalam menyelesaikan isu berhubung bantahan pelaksanaan secara paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui media selepas Program Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) di sebuah taman tema air di Bertam, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Lembaga Sekolah serta PIBG daripada 11 SMJK dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang membantah pelaksanaan secara paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Ia berikutan sekolah separuh kerajaan jenis Cina itu mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah mereka menentang dasar itu dan enggan memasukkan anak mereka ke dalam kelas.

Justeru, mereka menggesa KPM mendengar bantahan, menghormati kehendak ibu bapa dan kembali kepada hasrat asal DLP dalam sains serta matematik yang diajar dalam bahasa Melayu termasuk bahasa Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2024 @ 1:39 PM