Fadhlina Sidek.
Fadhlina Sidek.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mewajibkan sekurang-kurangnya satu kelas pengajaran sepenuhnya dalam bahasa Melayu untuk murid Tahun Satu bermula tahun depan di sekolah yang melaksanakan Program Dwibahasa (DLP).

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, ia komitmen kerajaan bagi memastikan bahasa Melayu di negara ini terus dipertahankan.

"Kita akan mulakan balik untuk kelas satu non (tanpa) DLP itu pada tahun hadapan.

"Bagi memastikan komitmen kerajaan untuk menjaga bahasa Melayu ini terus kita pertahankan," katanya semasa sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, beliau juga menyatakan pihaknya tidak mempunyai masalah bagi sekolah yang telah melaksanakan Program DLP 100 peratus pada tahun ini.

Menurutnya, garis panduan yang ditetapkan sebelum ini masih kekal sehingga ke hari ini.

"Saya ingin memberikan penjelasan begini. Pertama, garis panduan itu yang telah kita nyatakan daripada awal masih kekal pada hari ini. Tidak pernah kita ubah garis panduan tersebut.

"Manakala bagi yang telah melaksanakan DLP 100 peratus bagi tahun ini, kita teruskan. Tidak ada masalah," katanya.

Fadhlina yang merupakan Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, DLP hanyalah program dan mana-mana pihak tidak perlu bimbang mengenainya.

"Jangan risau tentang bahasa Inggeris ini, kita ada banyak program lain, polisi lain dan dasar lain yang akan memperkukuhkan bahasa Inggeris.

"DLP hanya program sahaja. Jadi jangan risau. Ada lagi pendekatan-pendekatan yang kita akan lakukan untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris dalam kalangan anak-anak kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 9:32 PM