DZULKEFLY menjawab soalan media selepas mengadakan lawatan Klinik Kesihatan Air Putih, Balik Pulau. FOTO Mikail Ong
DZULKEFLY menjawab soalan media selepas mengadakan lawatan Klinik Kesihatan Air Putih, Balik Pulau. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof

Balik Pulau: Draf Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) sudah siap dan sedang melalui proses semakan Jabatan Peguam Negara dalam usaha menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran melalui laluan paralel (parallel pathway).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau berharap selepas proses itu selesai, beberapa sesi libat urus dapat diatur sebelum RUU itu dibentangkan pada sesi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 2024.

"Beberapa libat urus yang akan dibuat antaranya bersama Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak berkepentingan lain.

"Apabila telah siap kesemuanya maka kita akan bentangkan kepada Kabinet sebelum RUU ini dibentangkan di Parlimen pada minggu pertama dan bahas dalam minggu ketiga pada persidangan Jun ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tanpa memperincikan Pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) tersebut Dzulkefly berkata, beliau sebelum ini membentangkan memorandum jemaah menteri berkaitan RUU tersebut di Kabinet bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Tambahnya, timbul kemelut atau kontroversi berhubung proses pengiktirafan serta pendaftaran kepakaran laluan paralel membabitkan 14 program di luar negara di samping 29 program Sarjana Perubatan yang dijalankan sembilan universiti tempatan.

"Kesemuanya kita garap sekali selepas Kementerian Kesihatan berdepan pelbagai dakwaan tuntutan kontroversi itu akhirnya kita merujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

"Ini bagi mendapatkan pandangan perundangan sebelum membentangkannya RUU Pindaan Akta Pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dan kami telah siapkan semuanya," katanya.

Terdahulu Dzulkefly merasmikan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Air Putih di sini yang telah disiapkan dengan kos RM30 juta pada 31 Oktober 2023 dan beroperasi sepenuhnya pada Februari lalu.

Beliau berkata, klinik dikelaskan jenis tiga itu yang baharu ini mampu menampung kapasiti sehingga 500 pesakit sehari sekali gus menggantikan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Air Putihyang tidak lagi dapat menampung keperluan perkhidmatan kesihatan pada masa ini.

Dalam pada itu, beliau turut melawat Klinik Kesihatan Bayan Lepas yang telah menerima kelulusan serta merta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April baru-baru ini untuk dibangunkan semula sebagai Klinik Kesihatan (Jenis 2) Bayan Lepas dengan kos sebanyak RM72 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 2:51 PM