GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hairulazim Mahmud


KABINET hari ini bersetuju memansuhkan kawalan fi perundingan mengikut Akta Kemudahan Perkhidmatan dan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pemansuhan itu membabitkan semua fasiliti berdaftar (Jadual Ketujuh) dan fasiliti berlesen (Jadual Ketiga Belas).

“Dengan pemansuhan kawalan fi perundingan, pengamal perubatan dan pengamal pergigian swasta akan dapat menentukan kadar fi perundingan yang dikenakan ke atas pesakit mereka.

“Pesakit pula boleh menilai dan membuat keputusan awal jika fi perundingan

yang ditawarkan adalah berpatutan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulkefly berkata, keputusan itu dicapai sebagai satu langkah untuk memperkukuhkan lagi kuasa pilihan di tangan rakyat.

Katanya, Kabinet juga sudah menilai perkara itu secara holistik dan komprehensif serta mengambil kira saranan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara.

“Kabinet juga prihatin terhadap keperluan bagi pindaan Jadual Ketujuh, yang belum pernah dipinda sejak ia mula dikuatkuasakan pada 2006,” katanya.

Katanya lagi, susulan keputusan berkenaan, KKM akan memperincikan beberapa peraturan baharu dan memperkukuhkan peraturan sedia ada bagi memberi penekanan terhadap penyampaian perkhidmatan yang lebih telus dan mesra pesakit.

“Antara lain, fi perundingan mestilah dipamerkan dengan jelas agar pesakit maklum akan fi perundingan sebelum mendapatkan rawatan,” katanya.

Dzulkefly berkata, sekiranya terdapat pesakit yang kurang berpuas -hati dengan caj atau perkhidmatan yang diterima di mana-mana fasiliti kesihatan swasta, aduan boleh dikemukakan ke Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Bahagian Amalan Perubatan KKM melalui alamat emel [email protected] bagi siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 8:02 PM