BANGUNAN Parlimen. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN Parlimen. FOTO arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kerajaan perlu meluluskan Rang undang-undang (RUU) kawalan tembakau selaras usaha memperkenalkan Duti Eksais terhadap cecair atau gel mengandungi nikotin untuk rokok elektronik dan vape mulai tahun ini.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, agak ganjil cukai mendahului akta atau peraturan kawalan vape.

Menurutnya, produk vape mengandungi dua jenis iaitu vape dengan nikotin (cukai) dan vape tanpa nikotin (tidak dicukai).

"Ini akan mewujudkan masalah dalam kawalan produk, perlesenan premis jualan dan pelaksanaan cukai serta boleh berlaku manipulasi yang akan menyebabkan ketirisan cukai, penyeludupan serta produk tidak sah seperti vape bernikotin tetapi dijual sebagai vape tanpa nikotin.

"Sepatutnya produk vape ini mempunyai peraturan dan kawalan perundangan dengan struktur kandungannya dan struktur cukai.

"Ketika ini peraturan dan kawalan perundangan belum wujud, justeru diharap kerajaan mesti meluluskan RUU kawalan tembakau termasuk produk lain seperti vape, rokok elektronik dan lain-lain," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mengulas lanjut,Dr Zainal Ariffin berkata, pelaksanaan cukai itu bagus dan agihan 50 peratus kepada Kementerian Kesihatan (KKM) juga dialu-alukan.

"Agihan 'sin-tax' menjadi banyak amalan negara luar dan bagus dimasukkan produk bahaya yang lain seperti produk tembakau, minuman beralkohol dan makanan serta minunan tinggi gula, lemak dan garam.

"Cukai 'sin-tax' patut disalurkan untuk aktiviti khusus pencegahan dan promosi kesihatan seperti kempen anti-merokok, klinik berhenti merokok, saringan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan memperkasakan Komuniti. Pada masa ini, aspek bajet aktiviti di atas sangat kecil dan terpinggir," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan memperkenalkan duti eksais terhadap cecair atau gel mengandungi nikotin untuk rokok elektronik dan vape mulai tahun ini.

Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipetik berkata, biarpun vape dan rokok elektronik masih tidak sah di sisi undang-undang di negara ini, ia masih dijual secara berleluasa dengan anggaran nilai RM2 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 1:26 PM