FAMI Fadzil (dua dari kiri) beramah mesra dengan Ketua Komuniti MADANI pada Program Sembang Santai bersama Ketua Komuniti MADANI Parlimen Nibong Tebal. FOTO Danial Saad
FAMI Fadzil (dua dari kiri) beramah mesra dengan Ketua Komuniti MADANI pada Program Sembang Santai bersama Ketua Komuniti MADANI Parlimen Nibong Tebal. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Dakwaan menteri turun ke lapangan khususnya di Sungai Bakap untuk menabur 'gula-gula' susulan Pilihan Raya Kecil (PRK) bakal diadakan adalah tidak berasas.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, tugas menteri perlu turun ke lapangan selari dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, ia bagi membolehkan mereka melihat sendiri masalah rakyat seterusnya mencari jalan penyelesaian selepas gagal diselesaikan oleh pemimpin tempatan.

"Dakwaan (menteri turun kawasan PRK) tabur 'gula-gula' itu tak betul. Saya (selaku Menteri Komunikasi) berada di sini kerana ada kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak petang nanti untuk menyampaikan jemputan Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim.

"Jadi saya ambil kesempatan untuk adakan program di bahagian Seberang Perai kerana pertemuan bersama TYT itu di pulau, jadi kita kira 'fair' (adil) kepada kedua belah serta tak jadi isu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai dakwaan ramai menteri dan timbalan menteri turun ke Sungai Bakap bagi menabur 'gula-gula' PRK.

Terdahulu, Fahmi menghadiri Program Sembang Santai Komuniti Madani Nibong Tebal di Sungai Bakap, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau turut menjadikan pertemuan itu sebagai kesempatan mendengar keluhan masyarakat berhubung isu air di daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

"Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir juga telah hadir dua hari lalu bagi meneliti isu terbabit.

"Saya nak tegaskan di sini bahawa kita akan terus berkhidmat tanpa mengira tempat," katanya.

Pada 4 Jun lalu, media melaporkan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pulau Pinang melaksanakan pelbagai usaha dan perancangan bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di daerah SPS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 2:42 PM