GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi yang mendengar kes saman oleh SRC International Sdn Bhd terhadap Datuk Seri Najib Razak, diberitahu bahawa dana SRC yang diselewengkan turut dipindahkan ke sebuah syarikat yang diperbadankan di British Virgin Islands.

Syarikat berkenaan, Muraset Limited yang dipercayai ada kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, menerima wang daripada SRC berjumlah AS$15 juta pada 27 Disember 2011, dan memindahkannyakepada beberapa individu termasuk anak bekas perdana menteri Mongolia dan seorang ahli politik.

Pakar penyiasatan kewangan, Angela Barkhouse melalui pernyataan saksinya, berkata berdasarkan penyelidikannya Battushig Batbold, iaitu anak lelaki kepada bekas perdana menteri Mongolia Sükhbaataryn Batbold menerima AS$40,000 manakala Dash Uranbileg iaitutokoh politik di Mongolia menerima AS$2 juta daripada Muraset.

Saksi kedua SRC itu berkata, AS$4.5 juta pula dipindahkan kepada pengarah Muraset, Cheong Choo Young, iaitu proksi Batbold manakala isterinya Kim Hak Seon menerima AS$1.4 juta.

Barkhouse yang juga Pengarah Urusan Quantuma International, berkata Muraset menerima dana berkenaan daripada akaun anak syarikat SRC, SRC BVI di BSI Bank.

SRC BVI dilantik untuk menjalankan aktiviti pelaburan luar negara dalam sektor sumber tenaga.

Beliau berkata, hasil penyelidikan menunjukkan Batbold, mengawal Muraset melalui pemegang sahamnya, iaitu syarikat yang diperbadankan di British Virgin Islands iaitu Grandcastle Assets Limited.

Katanya, perniagaan syarikat itu, bagaimanapun, tidak diketahui.

Barkhouse menjelaskan, pada mulanya Muraset menerima dana daripada SRC BVI, sebagai bayaran untuk tiga juta saham dalam Gobi Coal Energy Limited di Mongolia, di mana Gobi Coal memegang hak ke atas dua lombongdi Mongolia.

"Walaupun ini nampaknya adalah urus niaga yang dibuat mengikut pelaburan dalam sektor tenaga dan sumber, pemerolehan saham ini dijalankan tidak mengikut aturan yang wajar.

"Pemindahan itu nampaknya kekurangan nilai komersial. Tiada asas bagi pembayaran ini yang dikenal pasti dan menunjukkan bahawa ia adalah mekanisme untuk mengalihkan dana kepunyaan SRC International," katanya.

Pada 7 Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharu memulakan tindakan saman sivilterhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan pertama dan kedua.

Sementara itu, bekas pengarahnya iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, dinamakan sebagai pihak ketiga.

SRC, yang juga anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah.

Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC, memohon deklarasi bahawa semua defendan bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 5:22 PM