JUNAYATI pengsan apabila jasad suaminya, Samsudin berjaya ditemui. FOTO Togi Marzuki
JUNAYATI pengsan apabila jasad suaminya, Samsudin berjaya ditemui. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki


Pontian: Suasana pilu apabila seorang wanita pengsan sebaik melihat jasad suaminya, Samsudin Bachok yang lemas dibawa naik ke Jeti Nelayan Benut, di sini, pagi tadi.

Mayat Samsudin, 52, ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 400 meter dari Jeti Nelayan Benut pada jam 10.30 pagi tadi.

Isteri Allahyarham, Junayati Kechant, 48, dilihat pengsan ketika mayat dibawa ke jeti bagi urusan pengecaman sebelum ke Hospital Pontian untuk bedah siasat.

Anak kedua mangsa, Muhammad Nur Iskandar, 24, mewakili ibunya membuat pengecaman ke atas mayat bapanya.

Terdahulu, Junayati berkata, dia masih menaruh harapan suaminya terselamat memandangkan dia bekerja sebagai nelayan dan mengetahui selok-belok Sungai Benut.

Katanya, kehilangan suaminya pada Isnin hanya disedari apabila tidak pulang ke rumah di Taman Datuk Hajah Fatimah Salim seperti biasa sekitar jam 6 petang.

Katanya, ketika suaminya keluar hanya anak bongsu, Nur Syazwan, 12, berada di rumah manakala dia bekerja di kedai makan di bandar Pontian.

"Suami hanya memberi tahu pada anak, dia nak keluar sekejap, tetapi sehingga jam 6 petang dia belum pulang ke rumah," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki dipercayai lemas apabila jatuh di sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Mohammad Shofee Tayib dilaporkan berkata, mangsa berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dipercayai terjatuh di sungai berdasarkan penemuan motosikalnya berhampiran pesisir sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 12:54 PM