Anggota bomba disamping mayat Muhamad Amirul yang berjaya dijumpai di Sungai Benut, Pontian.FOTO TOGI MARZUKI
Anggota bomba disamping mayat Muhamad Amirul yang berjaya dijumpai di Sungai Benut, Pontian.FOTO TOGI MARZUKI
Togi Marzuki


Pontian: Pemuda yang didakwa terjatuh di jambatan Sungai Benut di sini, malam Isnin lalu, akhirnya ditemui anggota pasukan mencari dan penyelamat (SAR) jam 6.15 pagi tadi.

Mayat mangsa, Muhammad Amirul Muzamil, 25, ditemui masih berpakaian lengkap kira-kira 5 meter dari Jeti Nelayan Benut di sini.

Mangsa dikatakan terjatuh ketika sedang memancing di jeti berkenaan pada jam 9 malam, Isnin lalu.

Berdasarkan pengecaman dilakukan kakak mangsa, Norashikin Muzamil, 42, identiti adiknya itu dapat dikenal pasti berdasarkan tanda tahi lalat pada tubuh serta kunci motosikal yang masih berada dalam kocek seluarnya.

"Alhamdulillah, adik bongsu saya berjaya ditemui pasukan SAR, " katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian, di sini, tadi.

Terdahulu media melaporkan dua lelaki yang sedang memancing di jeti Nelayan Benut di sini, terjatuh di sungai berkenaan.

Bagaimanapun salah seorang mangsa berusia 20-an berjaya diselamatkan orang awam manakala Muhammad Amirul gagal dikesan.

Ibunya, Ramkah Hashim, 71, berkata, dia reda dengan kehilangan anaknya itu yang sempat menunjukkan motosikal baru dibeli seminggu sebelum kejadian.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Muhammad Shofee Tayib berkata, mayat mangsa ditemui timbul oleh anggota bomba yang sedang menjalankan operasi pencarian.

"Tiada unsur jenayah dan mayat mangsa dibawa ke Hospil Pontian untuk bedah siasat, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 2:25 PM