ABU Bakar Muhammad (kiri) bersama isteri Hirunisa Sandari.
ABU Bakar Muhammad (kiri) bersama isteri Hirunisa Sandari.
Togi Marzuki

Pontian: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Ayer Baloi di sini sejak dua hari lalu dihentikan susulan penemuan mayat mangsa kedua pagi ini.

Mayat Abu Bakar Muhammad, 57, ditemukan terapung pada jam 9.49 pagi oleh nelayan pada jarak satu batu nautika dari jarak dia dilaporkan hilang tengah hari semalam.

Terdahulu mayat Khalid Muhammad, 71, ditemukan di kedudukan 3.2 batu nautika muara Sungai Pontian Besar pada 12.45 tengah hari semalam.

Mereka berdua keluar ke laut dari Jeti Nelayan Ayer Baloi untuk menangkap ikan dengan menaiki sebuah perahu, jam 3 petang kelmarin.

Op Carilamat diaktifkan pada jam 10.31 pagi semalam dengan membabitkan tujuh aset daripada pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat, Pasukan Polis Marin ((PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sementara itu, anak Abu Bakar, Mohd Hafiz, 27, berkata keluarganya masih terkejut dengan insiden yang menimpa bapanya terutama ibunya, Hirunisa Sandari, 54.

"Tiada kelakuan ganjil sebelum kejadian itu berlaku, cuma ayah sering mengingatkan semua anak supaya jangan tinggal solat dan luangkan masa membaca Al-Quran," katanya yang bekerja sebagai jurutera di Klang, Selangor.

Mohd Hafiz, anak kedua dari lima beradik berkata, dia terkilan kerana terlambat memulangkan jam tangan milik bapa ketika kunjungan di kediamannya di Klang sempena Aidilfitri lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, susulan penemuan semua mangsa, Op Carilamat ditamatkan pagi tadi.

Katanya, mangsa terakhir dihantar ke Hospital Pontian untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 3:05 PM