Mangsa, Khalid Muhammad. FOTO TOGI MARZUKI
Mangsa, Khalid Muhammad. FOTO TOGI MARZUKI
Togi Marzuki


Pontian: Seorang nelayan ditemui lemas manakala rakannya masih hilang selepas keluar menangkap ikan di perairan Pontian.

Mayat nelayan Khalid Muhammad, 71, ditemui di persisiran pantai Pulai Sebatang kira-kira jam 12.45 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib, mangsa ditemui seorang nelayan yang secara kebetulan menyusuri persisiran pantai berkenaan selepas pulang menangkap ikan di laut.

"Penemuan itu berikutan kejadian dua mangsa berusia 54 dan 71 yang dilaporkan hilang pada 9 pagi tadi.

"Mereka berdua keluar ke laut dari Jeti Nelayan Ayer Baloi untuk menangkap ikan dengan menaiki sebuah perahu jam 3 petang semalam, " katanya memaklumkan, pencarian mangsa kedua masih dijalankan.

Sementara itu, waris mangsa Jamarina Khalid, 35, berkata ketiadaan bapa tersayang itu merupakan kehilangan besar dalam ahli keluarganya.

Anak kelima dari tujuh beradik itu berkata, walaupun kerjayanya seorang nelayan, namun pengorbanannya amat dihargai kerana dari hasil pencarian hasil laut mampu membiayai keperluan persekolahan semua anak.

"Bapa menduda selepas kematian isteri adalah seorang yang bertanggungjawab dan menjadi kenangan manis buat tujuh anak dan sembilan cucunya.

"Barangan yang paling disayangi hanya sebuah motosikal yang dibeli dari lebihan jualan ikan yang dikumpul, tiada apa pesanan sebelum ke laut, namun kami faham apa diharap sebelum ini semua anaknya menjadi anak yang soleh dan solehah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 7:20 PM