ISMAIL Sabri (kiri) bertanyakan keadaan polis pengiring yang kemalangan. FOTO Ihsan PMO
ISMAIL Sabri (kiri) bertanyakan keadaan polis pengiring yang kemalangan. FOTO Ihsan PMO
Mohamed Farid Noh dan Mahaizura Abd Malik

Pontian: Dua polis pengiring Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang terbabit dalam kemalangan di pekan Benut, pagi tadi, disahkan hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kemalangan di persimpangan lampu isyarat di pekan Benut ketika rombongan Perdana Menteri dalam perjalanan ke program Pelancaran Kolej Komuniti Satelit di Komplek Muafakat Sungai Pinggan, Benut, kira-kira jam 10 pagi.

"Kemalangan berkenaan membabitkan dua juruiring Perdana Menteri. Apabila sampai di lampu isyarat di Pekan Benut, seorang daripada pengiring polis berhenti untuk memastikan kenderaan lain memperlahankan kenderaan bagi memberi laluan kepada rombongan Perdana Menteri.

"Namun sebuah lagi motosikal polis pengiring yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak rakan setugasnya itu lalu terlanggar kotak belakang motosikalnya.

"Ia menyebabkan polis pengiring yang terlanggar motosikal rakannya itu terjatuh dan mengalami luka kecil di badan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Benut untuk rawatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohammad Shofee berkata, Perdana Menteri turut turun dari kenderaan rasmi beliau bagi memeriksa keadaan dua polis pengiring berkenaan.

"Sebaik memastikan keadaan pengiring polis yang menerima rawatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) tidak membimbangkan, Perdana Menteri kemudian meneruskan perjalanan ke majlis di Sungai Pinggan, Benut," katanya.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 3:05 PM