PEKERJA restoran nasi ayam menyimpan air dalam tong air sebagai persediaan bagi gangguan bekalan air berjadual di beberapa kawasan di Daerah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak dan Kuala Lumpur. FOTO Genes Gulitah
PEKERJA restoran nasi ayam menyimpan air dalam tong air sebagai persediaan bagi gangguan bekalan air berjadual di beberapa kawasan di Daerah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak dan Kuala Lumpur. FOTO Genes Gulitah
Siti Norhidayah Mohd Yunus


Kuala Lumpur: Rata-rata peniaga sudah bersiap siaga bagi menghadapi gangguan bekalan air secara berkala di sekitar Lembah Klang bermula esok.

Pemilik restoran, Mahani Abdul Rahman, 50, berkata, beliau mendapat notis pemberitahuan awal berkenaan gangguan bekalan air daripada pihak bertanggungjawab melalui WhatsApp, dua minggu lalu.

Menurutnya, persiapan awal termasuk menyediakan lebih 10 tong besar bagi penyimpanan air bersih untuk keperluan masakan dan pembersihan di restorannya.

"Saya membuat perancangan awal dengan membasuh ayam serta bahan mentah yang lain secara banyak sehari sebelum gangguan bekalan air berlaku dan menyimpannya di dalam peti beku.

"Pembersihan ayam memerlukan air yang banyak untuk mendapatkan basuhan yang bersih. Oleh itu, saya membuat inisiatif untuk membeli ayam secara pukal sekaligus mencucinya dengan banyak," katanya.

Tambahnya, beberapa masakan di restorannya turut dimasak awal seperti masakan rendang dan dendeng bagi mengurangkan penggunaan air dalam masakan.

"Jika ada lauk pauk yang boleh dimasak awal dan tahan lama, saya akan memasaknya terlebih dahulu," katanya.

Mahani yang mempunyai 10 pekerja turut itu menegaskan mereka harus bekerja lebih satu jam awal bagi memastikan operasi di kedainya terurus semasa berlakunya gangguan air.

"Mereka perlu menadah air bersih di dalam tong-tong yang disediakan setiap hari sebelum bermulanya waktu operasi," katanya.

Sementara itu, pembantu gerai makan, Rini Edy Murat, 48, berkata, penggunaan pinggan serta cawan pakai buang adalah pilihan terbaik ketika berlakunya gangguan bekalan air di gerainya di Gombak.

"Saya juga sudah menyediakan pinggan, mangkuk serta cawan pakai buang untuk kegunaan pelanggan sejurus menerima notis gangguan bekalan air yang bakal berlaku," katanya.

Bagi peniaga nasi ayam, Nurul Ain Arbaain, 34, notis gangguan bekalan air yang dikeluarkan oleh pihak terbabit secara tidak langsung menjejaskan perniagaannya di kawasan Taman Setapak itu.

Menurutnya, nasi ayam menggunakan air yang banyak, jadi memang menyukarkan kerjanya untuk memasak masakan itu dengan jumlah yang banyak ketika gangguan bekalan air berlaku.

Katanya, penyediaan sup untuk nasi ayam memerlukan air banyak, tidak termasuk penyucian beras dan ayam lagi.

"Penyediaan awal untuk menadah air bersih yang banyak amat diperlukan bagi melancarkan operasi kedai.

"Saya menyediakan lebih lima tong besar air bersih dan jika ia tidak mencukupi, saya berkemungkinan terpaksa menutup kedai.

"Namun, ia adalah jalan terakhir saya jika tiada pilihan lain," katanya.

Sementara itu, peniaga, Rohani Afifuddin Abdullah, 34, berkata, pilihan untuk ayam sejuk beku yang sudah siap sedia dibersih dan dipotong diperoleh di pasar raya berdekatan.

"Kebanyakan masakan menggunakan ayam sebagai bahan utama; oleh itu, saya mengambil pendekatan untuk mendapatkan ayam sejuk beku untuk menjimatkan air semasa gangguan bekalan air berlaku.

"Ia juga memudahkan dan menjimatkan masa ketika memasak masakan yang menggunakan ayam di dalam masakan," katanya.

Bulan lalu, Air Selangor memaklumkan tujuh kawasan di Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Selangor, Klang, Kuala Selangor, Petaling dan Shah Alam akan mengalami gangguan bekalan air berjadual mulai esok hingga 7 Jun ini berikutan kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 7:24 PM