PENDUDUK Presint 16, Putrajaya mengambil air berikutan terputus bekalan air akibat pencemaran Sungai Semenyih. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
PENDUDUK Presint 16, Putrajaya mengambil air berikutan terputus bekalan air akibat pencemaran Sungai Semenyih. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Mahaizura Abd Malik


Bangi: Kebanyakan pusat penempatan bekalan air Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) terus menjadi tumpuan ramai untuk mendapatkan sumber air bersih.

Tinjauan mendapati, ramai orang terutama ketua keluarga, golongan suri rumah, malah tidak terkecuali warga emas dan kanak-kanak silih berganti mengisi dan mengangkat air menggunakan tong, baldi dan botol air.

Malah, panas terik matahari tidak mematahkan semangat penduduk berkenaan mengambil bekalan sumber air untuk keperluan harian mereka sekeluarga.

Itu sebahagian situasi perit dan cabaran dialami penduduk yang terjejas akibat pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi bermula Ahad lalu.

Pekerja sendiri, Mohd Khairulnizam Ahmad,37, berkata seawal jam 7 pagi dia sudah mula mengambil air yang ditempatkan di hadapan Masjid Kariah Bangi.

"Lepas subuh tadi saya sudah datang sini menadah air kerana tidak mahu bersesak selain bimbang kehabisan bekalan air.

"Air yang diambil ini hanya cukup untuk kegunaan tandas, mandi dan membasuh manakala untuk minuman kami beli air mineral saja," katanya.

Katanya, itu pengalaman pertama dialaminya sejak setahun menetap di Perumahan PKNS Bangi Lama.

"Dulu ada juga gangguan bekalan air tetapi sekejap saja. Kali ini lebih lama membuatkan bekalan air simpanan kami susut.

"Namun, saya bersyukur bekalan air masih dibekalkan pihak berwajib yang menyediakan pusat sehenti di beberapa kawasan untuk memudahkan penduduk terjejas mendapatkan air pada bila-bila masa," katanya.

Sementara itu, Aziz Kijo, 46, yang ditemui di Kampung Bahagia berkata, bekalan air terputus di rumahnya yang terletak di Desa Pinggiran Putra, Putrajaya sejak 8 pagi semalam.

"Bekalan air tangki cuma hanya dapat menampung penggunaan kami sekeluarga untuk semalam saja.

"Hari ini, saya tiada pilihan meskipun masih mengantuk kerana belum tidur selepas pulang dari bertugas syif malam, saya terpaksa bergegas ke sini untuk mengambil bekalan air selepas dimaklumkan seorang rakan kerana tiada bekalan disalurkan di kawasan perumahan kami.

"Saya berharap pihak berwajib sentiasa memantau dan memastikan laluan masuk sumber air tidak mengalami gangguan pembuangan sisa industri atau berkaitan yang mencemarkan alam," katanya.

Sementara itu, Siti Zulaiha Samsudin, 28, meminta kerajaan negeri dan pihak berkaitan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang mencemar alam sekitar.

"Sejak semalam kami berulang mengambil air untuk keperluan sekeluarga kerana tidak sempat menyimpan air dalam tong.

"Kami hanya dapat tahu notis mengenai gangguan air ini dalam media sosial membuatkan kami kelam kabut mencari bekalan air untuk keperluan harian.

"Kami berharap pihak berwajib ambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak bertanggungjawab kerana perbuatan mereka menyusahkan rutin hidup orang lain," katanya yang menetap di Taman Sri Bangi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 7:53 PM