PETUGAS Air Selangor bersiap siaga  sebelum turun  padang membantu penduduk ke kawasan yang terjejas. FOTO Aziah Azmee
PETUGAS Air Selangor bersiap siaga sebelum turun padang membantu penduduk ke kawasan yang terjejas. FOTO Aziah Azmee
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Mulai hari ini sebanyak 998 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air.

Ternyata keadaan ini sedikit mengganggu aktiviti harian jutaan penduduk namun ia disebabkan kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Penduduk Kampung Baru, Nor Mahani Abdul Razak, 44, berkata, sebagai persiapan menghadapi masalah gangguan air itu, dia sudah menyimpan bekalan air sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, persediaan awal menyediakan bekalan air simpanan dilakukan seawal mungkin agar aktiviti harian tidak terganggu.

"Sepanjang ketiadaan air, saya 'gantung' kuali sementara waktu dan perlu mencari dobi layan diri untuk mencuci pakaian.

"Saya berharap penyelenggaraan aset air ini dapat menyelesaikan masalah gangguan bekalan air beberapa kali setiap tahun," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, pemilik restoran makanan barat, Mohd Ali Ibrahim, 47, berkata, dia perlu membeli air mineral untuk air minuman pelanggan.

Katanya, gangguan bekalan air ini sudah pasti mengganggu operasi restorannya namun ia untuk kebaikan jangka masa panjang.

"Saya harap keadaan ini tidak berterusan kerana ia mengganggu operasi restoran yang baru memulakan kembali perniagaan.

"Penambahbaikan aset air ini juga diharap memulihkan gangguan bekalan air dan operasi perniagaan kembali lancar selepas ini," katanya.

Bekalan air mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna bermula jam 5 petang esok selepas sistem bekalan air distabilkan.

Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 9 malam, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 1:26 PM