NURSYAHIRUNNISAA’ Abd Rahim, 20, mengisi air ke dalam bekas air bagi menghadapi gangguan bekalan air esok di beberapa kawasan di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang. FOTO Abd Rahim Rahmat.
NURSYAHIRUNNISAA’ Abd Rahim, 20, mengisi air ke dalam bekas air bagi menghadapi gangguan bekalan air esok di beberapa kawasan di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang. FOTO Abd Rahim Rahmat.
Noor Atiqah Sulaiman


ORANG ramai di beberapa kawasan yang bakal mengalami gangguan bekalan air selama tiga hari mula sibuk membuat persiapan terakhir, hari ini.

Tinjauan NSTP mendapati kebanyakan penduduk membeli tong besar bagi menyimpan bekalan air sebaik sahaja menerima notis gangguan bekalan daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Pengusaha gerai makanan, Mohd Annas Salim, 30, berkata gangguan bekalan air itu sedikit sebanyak akan mengganggu operasi gerainya.

“Saya sudah membeli pelbagai bekas untuk menyimpan air, diharapkan SYABAS dapat menyediakan lori tangki air dengan banyak supaya kami tidak terputus bekalan air bersih.

“Sekiranya terputus bekalan air bersih, mungkin saya terpaksa menutup gerai hingga bekalan air pulih,” katanya.

Sementara itu, pengguna, Noor Atika Abu Bakar, 25, berkata dia ada menerima notis awal yang disebarkan melalui WhatsApp serta pihak pengurusan turut menampal notis di pangsapurinya.

“Saya memang sudah membuat persiapan awal dan tidak perlu membeli tong untuk menyimpan air kerana sudah ada ketika krisis air sebelum ini.

“Saya anggarkan stok simpanan air di rumah mencukupi selama tiga hari kerana saya bekerja dan hanya berada di rumah pada waktu pagi dan malam sahaja,” katanya.

Sebelum ini, dalam satu kenyataan SYABAS memaklumkan gangguan bekalan air itu bagi memberi laluan kepada kerja penggantian perkakasan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Tempoh pemulihan bekalan air selepas pengoperasian semula loji kepada pelanggan berbeza-beza antara satu kawasan dengan kawasan lain.

Sebanyak lapan Pusat Khidmat Setempat (PKS) diaktifkan dan beberapa lori tangki air akan digerakkan bagi memberikan bantuan kepada pengguna yang terjejas.

Sebanyak 58,000 pengguna akaun SYABAS di Kuala Langat akan terkesan dengan gangguan bekalan manakala tiga lagi daerah turut terkesan seperti Sepang (86,000 pemegang akaun); Petaling (132,000) dan Hulu Langat (64,000).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 4:54 PM