Bazar Ramadan Lintasan Deasoka.
Bazar Ramadan Lintasan Deasoka.
BERNAMA

Kota Kinabalu: Keadaan cuaca yang terlalu panas dan masalah bekalan air yang tidak menentu ketika musim kemarau ini antara cabaran hebat yang terpaksa dihadapi peniaga bazar Ramadan di Sabah.

Peniaga air balang di Bazar Ramadan Lintasan Deasoka di sini, Mohd Shafie Abdul Kadir, 30, berkata, walaupun dia mampu membuat jualan sehingga ratusan ringgit setiap hari semasa Ramadan, namun cabaran untuk terus berniaga jauh memeritkan berbanding tahun sebelumnya.

"Tahun ini paling mencabar, sebelum ini tidak panas begini. Tahun ini panasnya lain macam sikit, buat kerja bawah panas matahari ini cepat penat. Memang kerja jadi perlahan ditambah kita menjalani ibadah puasa.

"Saya mula menyediakan jualan di tapak bazar seawal jam 2 petang dan cuaca ketika itu sangat panas. Jika lambat, saya terlepas peluang tarik ramai pelangan kerana di sini (Kota Kinabalu) berbuka puasa awal pukul 6.28 petang jadi kita kena sedia awal," katanya.

Peniaga kuih Fatimah Rahman, 41, pula berkata cuaca panas ketika ini menjadikan peniaga bazar Ramadan di kawasan itu menghadapi banyak kesukaran apabila terpaksa datang awal untuk menyediakan barang jualan dan tapak perniagaan mereka.

Dia berkata, bekalan air yang terputus di kawasan rumahnya di Tanjung Aru di sini memberikan cabaran besar kepadanya apabila terpaksa menyediakan makanan dengan jumlah air yang sedikit, selain terpaksa membeli bekalan air untuk kegunaan perniagaannya.

Di Papar, peniaga air kelapa di Bazar Ramadan Kimanis, Nurul Albiaya Abdullah, 43, berkata masalah bekalan air amat menyukarkan peniaga di kawasan itu apabila terpaksa mendapatkan bekalan di kawasan lain sebelum memulakan perniagaan.

"Rumah sebelum ini ada air... mudah kita kerja, isi air bersih dalam tong bawa ke tapak bazar untuk kegunaan berniaga. Tetapi apabila tiada bekalan air, terpaksa awal-awal beli di kedai (air minuman berbotol), pejabat kerajaan dan JANS (Jabatan Air Negeri Sabah)," katanya.

Peniaga sayap ayam bakar Mohd Hanif Anuar Yun, 27, berkata, dia menggunakan antara lima hingga 10 karton air minuman berbotol setiap hari dengan belanja kira-kira RM150 sehari untuk menyediakan sayap ayam bakar yang dijualnya.

"Rumah saya ada air ditapis beralkali tetapi bila tiada air, terpaksa cari air botol kerana sediakan makanan ini tidak boleh guna air biasa, daripada kerja-kerja membersihkan ayam sehingga proses menggunakan bahan perap. Jika tidak, makanan akan tercemar," katanya.

Di Tuaran, peniaga sup dan bakso di Bazar Ramadan Telipok, Shahjirie Rahman, 41, berkata sememangnya peniaga bazar Ramadan di Sabah mampu meraih jualan ratusan ringgit sehari, bagaimanapun keuntungan diperoleh tahun ini berkurangan berbanding tahun sebelumnya.

"Tahun ini terpaksa keluarkan kos lebih beli air, tambahan cuaca panas kita pasang kipas mudah alih untuk bagi keselesaan kita dan pelanggan datang berniaga. Jumlah jualan tidak banyak berbeza tetapi untung itu jatuh dalam 30 hingga 50 peratus juga," katanya.

Dia berkata, bagi peniaga masakan berair seperti dirinya mencari sumber air betul-betul bersih terutama ketika kemarau adalah penting bagi memastikan makanan disediakan tidak tercemar, justeru air minuman berbotol dibeli dengan kos RM50 hingga RM100 sehari adalah satu-satunya pilihan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 3:41 PM