MOHAMMAD Azhar bersama anak sulungnya, Nur Khaulah Al Azwar .FOTO Ihsan Mohammad Azhar Arzemi
MOHAMMAD Azhar bersama anak sulungnya, Nur Khaulah Al Azwar .FOTO Ihsan Mohammad Azhar Arzemi
Redzuan Muharam


Kulim: Usia Nur Khaulah Al Azwar Mohammad Azhar baru menginjak lima tahun. Namun kanak-kanak ini menanggung ujian berat selepas disahkan menghidap 'golden har syndrome' atau kecacatan pada cuping telinga.

Keadaan itu menyebabkan dia kehilangan deria pendengaran berikutan keadaan saluran gegendang (telinga) halus.

Bapanya, Mohammad Azhar Arzemi, 31, yang menetap di Batu 4, Sungai Ular di sini, berkata, penyakit pada cuping telinga kanan itu dikesan sejak anaknya lahir.

"Bukan setakat itu, Nur Khaulah Al Azwar berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal juga mengalami masalah tulang belakang bengkok yang menambah lagi deritanya

"Saya perlu membawa Nur Khaulah ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah setiap minggu untuk menjalani pemeriksaan tulang belakang serta telinga," katanya.

Menurutnya, doktor mengesyorkan pembedahan dilakukan di kepala anaknya bagi menanam implan koklea sebagai alternatif merawat Nur Khaulah Al Azwar.

"Bagaimanapun, belum ada tarikh pembedahan ditetapkan lagi setakat ini. Pembedahan itu bukan murah berikutan menelan kos mencecah RM85,000.

"Runsing juga memikirkannya kerana saya tidak memiliki wang sebanyak itu? Saya tiada kerja tetap dan hanya menjual daging perap secara dalam talian dengan bantuan isteri (Nurul Izzati Adawiyah Mohammad Zaidi, 25)," katanya.

Mohammad Azhar berkata, Nur Khaulah Al Azwar sebelum ini ada menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun dihentikan.

"Selepas anak bongsu saya Bilal (Mohammad Bilal Yusra) meninggal dunia, Khaulah (Nur Khaulah Al Azwar) tak dapat lagi bantuan (JKM). Saya tak pasti mengapa.

"Malah saya amat kesempitan berikutan perlu membayar sewa rumah sebanyak RM400 setiap bulan sedangkan pendapatan tidak menentu," katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Azhar mengakui masih bersedih susulan `pemergian' seorang lagi anaknya, Mohammad Bilal Yusra atau nama manjanya Bilal.

"Muhammad Bilal berusia tiga tahun menderita kecacatan tempurung kepala atau Alobar Holoprosencaphly dan meninggal dunia pada 15 Disember tahun lalu akibat penyakit itu.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun CIMB bernombor 7047468689 atas nama Mohammad Azhar Arzemi atau menghubunginya di talian 010-219 5301.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2024 @ 5:02 PM