MOHAMMMAD Azhar bersama  Bilal yang menghidap kecacatan tempurung kepala. FOTO Ihsan Mohammad Azhar Arzemi
MOHAMMMAD Azhar bersama Bilal yang menghidap kecacatan tempurung kepala. FOTO Ihsan Mohammad Azhar Arzemi
Redzuan Muharam

Kulim: Saiz kepala Mohammad Bilal Yusra atau Bilal yang menghidap Alobar Holoprosencaphly iaitu kecacatan tempurung kepala semakin membesar dan kini mencecah 45 kilogram (kg).

Bapanya, Mohammad Azhar Arzemi, 31, berkata, lilitan kepala Bilal pula berukuran 175 sentimeter (sm) dan berat kepala bertambah setiap hari.

Mohammad Azhar berkata, keadaan itu menyebabkan Bilal hanya terbaring dan tidak boleh tidur dengan selesa, malah kerap menangis sepanjang hari.

"Ikutkan, kepala Bilal lebih berat daripada badannya yang hanya enam kilogram (kg) saja.

"Selagi Bilal bernyawa, kepalanya akan terus membesar dan doktor dari Hospital Kulim ada datang ke rumah untuk periksa keadaan Bilal.

"Doktor kata sudah tidak boleh buat apa dengan Bilal kecuali pembedahan. Mereka sangka Bilal tak dapat hidup lama," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun, Mohammad Azhar keberatan untuk membiarkan Bilal menjalani pembedahan.

"Bukan tak mahu dengar cakap doktor cuma risiko tinggi jika buat pembedahan termasuk BT Shunt dan membuang air di kepalanya.

"Lagipun, Bilal ada jantung berlubang jadi saya dan isteri tak nak kemungkinan lebih buruk berlaku," katanya.

Menurutnya, buat masa ini, Bilal tidak boleh makan dan hanya minum susu formula.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada memberi elaun bulanan sebanyak RM500 manakala RM200 pula sumbangan dari pusat zakat.

"Saya pula berusaha cari pendapatan dengan menjual makanan sejuk beku dalam talian namun masih tak cukup kerana perbelanjaan bulanan Bilal saja mencecah RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.

"Pada yang masa sama, saya mempunyai komitmen lain iaitu membayar sewa bulanan rumah iaitu sebanyak RM300.

"Memang berat ujian ini namun tiada pilihan kecuali hadapi dengan sabar," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Bilal yang semakin kronik akibat penyakit yang dihidapinya.

Lebih menyedihkan, Bilal ada masalah jantung berlubang selain tidak dapat melihat dan sumbing sejak lahir.

Orang ramai yang ingin membantu rawatan Bilal boleh menyalurkannya ke akaun CIMB bernombor 7047468689 atas nama Mohammad Azhar Arzemi atau akaun Bank Islam 02057027831525 atas nama Nurul Izzati Adawiyah Mohd Zaidi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 9:27 AM