MOHAMMAD Azhar bersama anaknya, Bilal yang menghidap kecacatan tempurung kepala. FOTO Ihsan Mohammad Azhar Arzemi
MOHAMMAD Azhar bersama anaknya, Bilal yang menghidap kecacatan tempurung kepala. FOTO Ihsan Mohammad Azhar Arzemi
Redzuan Muharam


Kulim: "Sudahlah anak saya sakit, ada pula yang tergamak ambil kesempatan terhadap penderitaannya," luah Mohammad Azhar Arzemi, bapa kepada Mohammad Bilal Yusra atau Bilal yang menghidap Alobar Holoprosencaphly iaitu kecacatan tempurung kepala.

Mohammad Azhar meluahkan rasa kesal itu selepas mendapati wujudnya akaun palsu di TikTok yang bukan hanya menggunakan gambar Bilal, malah pengendali akaun itu juga berani bersiaran langsung (live) dengan rakaman tangkap layar video untuk meraih simpati sekali gus mengaut keuntungan hasil sumbangan pengguna platform berkenaan.

Sehingga kini, Mohammad Azhar sudah mengenal pasti 13 akaun palsu dan tidak pasti jika ada banyak lagi yang di luar pengetahuannya.

"Saya ada dua akaun saja di TikTok yang menggunakan nama @azhararzemi98 dan @azharazrzemi9 manakala yang lain adalah palsu.

"Saya syak akaun palsu itu diwujudkan oleh sindiket penipuan (scammer) yang tahu kisah penderitaan anak saya dan sengaja ambil kesempatan mengaut sumbangan orang ramai dengan mudah.

"Kewujudan akaun palsu itu disedari saya sendiri dan ada juga pengikut beri maklumat. Laporan polis sudah dibuat cuma tidak pasti sama ada individu terbabit masih aktif melakukannya atau sebaliknya jadi saya harap orang ramai berhati-hati dan tidak mudah terpedaya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi keadaan terkini Bilal, Mohammad Azhar berkata, anaknya itu agak lemah dan kurang aktif seperti selalu.

"Setiap hari Bilal menangis kerana sakit akibat kepalanya membesar, sebelum ini 28 kilogram (kg) tetapi kini 33 kg.

"Cecair dalam kepala juga panas dan sebagai bapa, saya sedih lihat keadaannya," katanya.

Mohammad Azhar berkata, tiada apa diharapkannya melainkan doa daripada orang ramai dan keajaiban anaknya sembuh.

"Bagaimanapun, jika tidak titipan doa atau menyumbang sekali pun, janganlah ada yang mengambil kesempatan kerana kami bukan orang senang.

"Saya pula tidak bekerja dan kini hanya daripada jualan barangan makanan sejuk beku namun pendapatan kini agak teruk dan ada kalanya tidak cukup.

"Saya khuatir seandainya Bilal sudah tiada nanti pun, scammer itu terus ambil kesempatan dengan memperdaya orang ramai," katanya.

Oktober lalu, Harian Metro melaporkan kisah Bilal yang semakin kronik akibat penyakit yang dihidapinya.

Lebih menyedihkan, Bilal ada masalah jantung berlubang selain tidak dapat melihat dan sumbing sejak lahir.

Orang ramai yang ingin menyumbang untuk membantu rawatan Bilal, boleh menyalurkannya ke akaun CIMB bernombor 7047468689 atas nama Mohammad Azhar Arzemi atau akaun Bank Islam 02057027831525 atas nama Nurul Izzati Adawiyah Mohd Zaidi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 4:11 PM