MOHD Sabri bersama anaknya Ahmad Shaheer Rafael Mohd Sabri, 1, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Titian Rawa. FOTO Nazdy Harun
MOHD Sabri bersama anaknya Ahmad Shaheer Rafael Mohd Sabri, 1, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Titian Rawa. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Marang: "Saya anggap ini ujian Allah SWT buat saya apabila anak tunggal Ahmad Shaheer Rafael Mohd Sabri yang berusia tiga tahun dilahirkan dengan pelbagai komplikasi kesihatan," kata Mohd Sabri Samsudin, 38, dari Kampung Titian Rawa, dekat sini.

Menurutnya, paling ketara adalah kedua belah telinga anaknya tidak mempunyai cuping malah lubang telinga juga tidak ada selain didiagnos menghidap penyakit jantung berlubang, lebihan tulang belakang dan lidah pendek.

Katanya, walaupun pada mata kasar dilihat mengalami pelbagai penyakit namun dia bersyukur kerana anaknya aktif dan mampu bergerak seperti individu normal.

"Buat masa sekarang anak saya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menjalani rawatan susulan manakala Hospital Kemaman pula bagi menjalani rawatan berkaitan telinga.

"Sepatutnya hari ini anak saya perlu melalui satu ujian penggunaan alat bagi mengetahui sejauh mana sistem pendengarannya boleh berfungsi namun pihak hospital menangguhkan buat sementara waktu," katanya yang juga seorang pesara tentera.

Menurutnya, dia kini hanya melakukan kerja sendiri termasuk berniaga air pada bulan Ramadan manakala isterinya Roslina Mohd Zin, 34, bekerja di sebuah hotel di Kuala Terengganu.

Katanya, dia berharap kesihatan anaknya kembali pulih selain sistem pendengaran anaknya juga sesuai dengan alatan yang ingin diuji pihak hospital.

Mohd Sabri berkata, ayah mana yang ingin melihat anaknya menghidap pelbagai penyakit, begitu juga dengannya ketika menantikan kelahiran anak pertama selama tujuh tahun.

"Alhamdulillah, walaupun anak saya tidak mempunyai cuping dan lubang telinga namun dia memahami sekiranya dia diarahkan berbuat sesuatu.

"Contohnya, apabila saya memintanya untuk turun dari sofa maka Shaheer Rafael, akan turun dan ia menunjukkan perkembangan positif buat anak saya itu," katanya.

Menurutnya, bagi membantu menaikkan berat badan anaknya dia terpaksa menggunakan susu bersesuaian dan setiap bulan lebih RM1,000 diperuntukkan untuk kos ke hospital dan pengurusan anaknya itu.

Katanya, dia juga dimaklumkan lebihan tulang belakang anaknya perlu melalui pembedahan membuang tulang berkenaan bagi mengelak kesan jangka panjang apabila anaknya membesar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 1:41 PM