Mohammad Bilal Yusra. FOTO Ihsan Mohammad Azhar Arzemi
Mohammad Bilal Yusra. FOTO Ihsan Mohammad Azhar Arzemi
Redzuan Muharam


Kulim: "Terima kasih buat semua yang menyumbang, rakyat Malaysia memang bagus dan prihatin," kata Mohammad Azhar Arzemi, bapa kepada kanak-kanak penghidap Alobar Holoprosencaphly iaitu kecacatan tempurung kepala, Mohammad Bilal Yusra.

Mohammad Azhar berkata, selepas tersiarnya kisah anaknya yang berusia dua tahun dua bulan itu di akhbar dan portal Harian Metro hari ini, ramai menyumbang dan sumbangan diterima mencecah RM15,000.

Katanya, jumlah sumbangan diterima di luar jangkaannya dan mengakui terharu dengan keprihatinan masyarakat kerana sudah lama tidak dapat bantuan sebanyak itu.

"Saya ada semak akaun tadi dan terkejut dengan jumlah sumbangan diterima kerana amat banyak.

"Terima kasih banyak saya ucapkan buat penyumbang atas keprihatinan terhadap Bilal (nama gelaran) dan keluarga saya.

"Hanya Allah saja dapat membalasnya. Sumbangan itu akan digunakan untuk membeli barangan keperluan Bilal dan belanja barang rumah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi perkembangan Bilal, Mohammad Azhar berkata, anak bongsunya itu muntah hari ini.

"Badannya mungkin tidak sedap dan harap ia tidak berterusan.

"Saya dan isteri seperti biasa akan memantau keadaannya," katanya.

Laporan akhbar dan portal Harian Metro hari ini memaparkan derita ditanggung Bilal yang menghidap kecacatan tempurung kepala.

Penyakit Bilal semakin kronik dan berada pada tahap akhir malah kepalanya juga semakin membesar dengan kini mencapai berat 28 kilogram (kg).

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun bank CIMB milik Azhar, 7047468689 atau menghubunginya di talian 010-2195301.

Berita berkaitan:

  • Bilal bawa beban 28kg
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 5:09 PM