Gambar hiasan. SPRM (ADA WATERMARK)
Gambar hiasan. SPRM (ADA WATERMARK)
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang giat memperoleh maklumat dalam menjalankan siasatan berhubung dakwaan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa yang dipercayai turut menyogok penguat kuasa serta terbabit aktiviti pengubahan wang haram.

SPRM dalam kenyataannya berkata, SPRM sudah merakam pernyataan individu-individu dan membuat penggeledahan di kediaman serta premis yang disyaki dalam Op Jaguar.

Menurutnya, SPRM turut menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan dan menjadikan jumlah yang ditahan setakat ini adalah seramai lapan orang.

"SPRM juga sudah mengenal pasti pegawai penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling ini," menurut kenyataan itu hari ini.

Sehubungan itu, SPRM sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan iaitu Sheikh Biman Sheikh Ahmad , 43, yang mempunyai alamat terakhir di No 53, Jalan Sama Gagah 15, Taman Telok Gedong Indah, 42000 Pelabuhan Klang, Selangor.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat, Siti Norazirah Ramli di talian 03-88700249 atau 019-8557290 atau emel kepada [email protected].

Semalam, Harian Metro melaporkan pekerja kepada dalang utama dan menjadi orang tengah kepada sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa ditahan SPRM dalam Op Jaguar.

Harian Metro pada kelmarin juga melaporkan empat lelaki direman selepas disyaki terbabit menyogok penguat kuasa bagi menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling serta terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Dalam operasi itu, tujuh orang ditahan di mana empat daripadanya direman sementara tiga lagi warga asing diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin sebelum ini memaklumkan siasatan lanjut untuk Op Jaguar sedang dijalankan pihaknya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 1:38 PM