GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kenderaan mewah serta akaun bank bernilai jutaan ringgit disyaki milik sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, turut disita ialah 1.8 tan sisik tenggiling yang dianggarkan bernilai lebih RM23 juta.

Katanya, penyitaan dan pembekuan kesemua aset itu dibuat susulan penahanan 10 individu termasuk pemilik syarikat serta ejen sindiket dalam Op Jaguar sejak Isnin lalu.

"Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM menyita enam kenderaan mewah pelbagai jenis dan sembilan akaun bank yang mempunyai wang berjumlah lebih RM100,000 selain merampas 1.8 tan sisik tenggiling.

"Turut disita ialah lapan telefon bimbit, sebuah komputer riba dan dua kamera litar tertutup (CCTV) milik ahli sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa itu," katanya.

Selain itu, sumber berkata, seramai 12 saksi sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Harian Metro hari ini melaporkan, pemilik syarikat yang juga ejen sindiket berusia 43 tahun direman empat hari bermula semalam sehingga 22 Julai ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nor Syakirah Che Hashim selepas menerima permohonan dibuat pegawai pendakwa SPRM.

Sebelum itu, dua pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berusia 46 dan 56 tahun turut ditahan selepas disyaki menerima sogokan daripada sindiket sama.

Terdahulu, tujuh individu berusia antara 30 hingga 59 tahun membabitkan warga Malaysia, Bangladesh, Pakistan dan Nepal sudah ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 3:42 PM