GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Dua pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditahan selepas disyaki menerima sogokan daripada sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia 46 dan 56 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Op Jaguar di sini, pada Isnin lalu.

"Mereka disyaki menerima sogokan daripada sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa itu.

"Setakat ini, tiada rampasan dibuat dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh SPRM," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan penahanan kedua suspek terbabit.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, pemilik syarikat serta ejen pelupusan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa yang dicari SPRM berjaya ditahan.

Suspek berusia 43 tahun yang melarikan diri ditahan selepas hadir menyerah diri di pejabat SPRM Selangor pada Selasa lalu.

Dalam operasi sebelum itu, tujuh individu berusia antara 30 hingga 59 tahun membabitkan warganegara Malaysia, Bangladesh, Pakistan dan Nepal ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Daripada keseluruhan ditahan itu, empat daripadanya direman sementara tiga lagi warga asing diserahkan ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 11:19 AM