ANTARA yang direman kerana disyaki terbabit menyogok penguat kuasa bagi menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling. FOTO Ihsan SPRM
ANTARA yang direman kerana disyaki terbabit menyogok penguat kuasa bagi menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling. FOTO Ihsan SPRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat lelaki kerana disyaki terbabit menyogok penguat kuasa bagi menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling serta terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.

SPRM turut merampas hampir dua tan sisik haiwan itu yang bernilai kira-kira RM23.4 juta.

Menurut sumber, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 50-an itu dipercayai ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 8 malam tadi ketika hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, sindiket berkenaan ditumpaskan hasil serbuan dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM menerusi Op Jaguar di sebuah premis di Klang, Selangor dan di Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, dalam operasi itu tujuh orang ditahan di mana empat direman sementara tiga lagi warga asing diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

"Susulan penahanan terbabit, Majistret A Karthiyayini membenarkan tiga suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 18 Julai 2023 manakala seorang lagi suspek berusia 40-an direman selama dua hari sehingga 16 Julai 2023 selepas SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin yang mengesahkan penahanan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 danSeksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 2:20 PM